
KUALA LUMPUR - Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump Oktober nanti adalah instrumen penting dalam memastikan ruang dialog terus kekal sebagai antara medium utama, untuk menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar buat rakyat Gaza.
Jelas Perdana Menteri, pertemuan tersebut pastinya bukan penyelesaian muktamad dalam menghentikan kezaliman Zionis.
“Tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman.
“Ia akan menjadi ruang untuk suara untuk keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi,” katanya.
Menurut Anwar, semua pihak harus memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar semua usaha dilakukan diberi perlindungan dan menjadi sinar terbaik serta jawapan yang ampuh kepada kezaliman ini.
“Ia pastinya menjadi detik pensejarahan penting serta permulaan kepada era dan order baharu dunia yang lebih aman dan mampu menjamin keadilan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri meninjau dan melawat Markas Utama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk Global Sumud Flotila.

Anwar berkata, kecekalan kumpulan perwira itu meredah samudera untuk satu tempoh panjang demi keadilan di bumi Gaza telah menjentik nurani ramai dan menjadi sumber kekuatan, tidak hanya kepada warga Palestin, tetapi juga kepada masyarakat dunia yang mengikutinya dengan rasa juang yang tinggi.
“Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan dan apa yang utama adalah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak, dan dijangka akan mula memasuki zon merah pada esok hari.
“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali, dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga,” katanya.
Beliau menarik perhatian, hubungan akrab dan langsung yang Malaysia kekalkan dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global.
“Justeru, hari-hari yang mendatang ternyata mencabar. Musuh mungkin menggertak, menyerang. Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan.
“Sebagaimana 34 anak Malaysia yang kini bersama pasukan flotila ini, ia tentunya menjadi catatan sejarah dalam menegak keadilan dan membela kemanusiaan,” katanya. - Getaran, 30 September 2025

