Pertemuan Dengan Trump Berjalan Ikut Jadual, PM Terima Memorandum Sokongan 16 NGO

WorldPolitics
24 Oct 2025 • 5:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Donald Trump - Gambar BBC

KUALA LUMPUR - Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tetap diteruskan mengikut jadual.

Berdasarkan jadual sementara oleh America’s Roll Call, detik bersejarah tersebut dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Trump dijangka tiba di ibu negara pada pagi Ahad manakala pertemuan bersama Anwar bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sebelah petang. 

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri dan Trump bakal mengadakan perbincangan dua hala dan menghadiri majlis menandatangani perjanjian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta mesyuarat berkaitan.

image is not available
Pertemuan Perdana Menteri bersama Trump bakal diadakan di KLCC - Gambar fail

Trump seterusnya akan menyertai majlis menandatangani perjanjian bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.

Getaran difahamkan, perjanjian berkenaan antara lain meliputi penyelesaian pertikaian sempadan antara kedua-dua negara ASEAN itu.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, agenda utama kedatangan Trump ke Malaysia mencakupi isu tarif semikonduktor, perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau.

“Beliau akan menamatkan lawatan dengan menghadiri Sidang Kemuncak AS-ASEAN ke-13 serta majlis makan malam rasmi bersama barisan pemimpin ASEAN,” katanya.

Media tempatan melaporkan, Presiden AS itu akan berlepas ke Tokyo pada Isnin untuk bertemu Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, sebelum ke Busan, Korea Selatan, pada Rabu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Ini ialah kunjungan pertama Trump ke Asia sejak dilantik semula sebagai presiden dan kali kedua Malaysia menerima kehadiran Presiden AS selepas Barrack Obama, sedekad lalu. 

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian,” akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober.

Sidang kali ini menghimpunkan pemimpin daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog termasuk AS, China, Korea Selatan, Jepun dan India.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri hari ini menerima memorandum daripada gabungan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya, termasuk dalam usaha mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN.

Memorandum tersebut diserahkan kepada beliau di Surau Al Quddus, Presint 16, Putrajaya selepas solat Jumaat tengah hari tadi. 


image is not available
Gambar PMO

Ia diserahkan oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Antara NGO yang menyokong memorandum itu selain ABIM adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), IKRAM Malaysia, WADAH, dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ahmad Fahmi ketika ditemui berkata, memorandum itu merangkumi lima perkara utama, termasuk sokongan terhadap kepimpinan Anwar dan usahanya memulihkan ekonomi negara.

Ia juga menggesa Malaysia memanfaatkan Sidang Kemuncak AS-ASEAN untuk memperkukuh peranannya sebagai Pusat Keamanan Serantau, serta menyokong pendirian Perdana Menteri dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan memperjuangkan suara kemanusiaan global.

“Kita perlu memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemain utama di peringkat global dengan memanfaatkan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN, dan dengan kehadiran Trump, penting untuk kita menegaskan pendirian negara,” katanya. - Getaran, 24 Oktober 2025