Pertemuan KJ dengan Anwar, Muhyiddin timbulkan tanda tanya
zulfadli
19/06/2023 - 16:01
KUALA LUMPUR 19 Jun - Jumaat lalu, Khairy Jamaluddin dengan statusnya yang masih tidak mempunyai parti politik, hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kehadiran bekas Menteri Kesihatan itu dalam sesi bersama beberapa tokoh perniagaan dan pakar ekonomi yang juga pemimpin politik, termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menimbulkan persoalan sama ada beliau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan.
Anwar juga Pengerusi Pakatan (PH) dan Presiden PKR.
Perkembangan mengenai Khairy yang dipecat Umno pada 27 Januari lalu menarik perhatian kerana beliau juga sebelum ini pernah ditawarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.
Hari ini, bekas Ketua Pemuda Umno itu menyiarkan gambarnya bersama Muhyiddin, kedua-dua kelihatan tersenyum di ruangan laman sosial, InstaStory, namun tidak disertakan sebarang keterangan.
Sebelum ini media melaporkan, Khairy akan mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan PN, dipercayai bagi membincangkan mengenai penyertaannya dalam gabungan itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mengesahkan pertemuan Muhyiddin dan Khairy itu, lapor Berita Harian.

Beliau turut mengesahkan pertemuan itu diadakan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara bagi membincangkan mengenai tawaran Bersatu, namun enggan mendedahkan keputusan mengenainya.
"Memang ada pertemuan di rumah Tan Sri (Muhyiddin), namun kita tunggu nanti kenyataan presiden.
"Namun, saya sahkan Khairy tidak akan menubuhkan parti baharu dan parti mana akan disertainya. Kita tunggu kenyataan rasmi beliau sendiri," katanya kepada BH. - DagangNews.com

