Pertemuan pemimpin parti cetus tanda tanda, bincang krisis Negeri Sembilan?

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 5:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pertemuan pemimpin parti cetus tanda tanda, bincang krisis Negeri Sembilan?
Gambar pertemuan antara Anwar, Ahmad Zahid, Anthony Loke dan Saifuddin yang dimuat naik Fahmi di Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Sekeping gambar yang dikongsikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mencuri perhatian dan menimbulkan tanda tanya apabila ia memaparkan pertemuan melibatkan beberapa pemimpin parti dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani tidak memperincikan butiran pertemuan berkenaan, sebaliknya hanya menulis kapsyen ringkas 'pertemuan berlangsung'.

Antara pemimpin kelihatan dalam gambar itu termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP yang juga ADUN Chennah, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid dijangka mengadakan pertemuan bersama Anwar bagi membincangkan krisis politik di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut pertemuan tersebut ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini pada Selasa.

Terdahulu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.