
ALOR SETAR – Pertemuan antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersama kepimpinan UMNO Kedah pada semalam disifatkan sebagai pertemuan mesra dalam usaha mewujudkan suasana yang positif antara kedua-dua parti itu.
Muhammad Sanusi berkata, pertemuan yang melibatkan pimpinan Pas dan UMNO negeri itu lebih kepada sembang santai terutama melibatkan senario politik semasa.
“Sembang santai UMNO negeri Kedah dan Pas, jadi perbualan tentang senario politik semasa, itu sahajalah. Kerjasama apa semua belum lagi. Semua bentuk kerjasama itu diputuskan peringkat pusat. Semua setuju macam itulah iaitu kita ikut apa yang pusat putus.
“Ini pertemuan mesra dengan orang tua-tua, orang tua-tua itu bermaksud mereka yang ada pengalaman dan kefahaman yang cukup tentang politik negeri,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah selepas menerima kunjungan hormat kepimpinan UMNO negeri di Kediaman Rasmi MB Kedah, di sini semalam.
Pertemuan itu dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man; Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang juga mantan MB Kedah dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.
Pas Kedah pula diwakili Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya; Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi serta Setiausaha Pas Kedah, Senator Musoddaq Ahmad.
Kata Muhammad Sanusi, pertemuan bagi membentuk suasana positif itu penting sebelum ia boleh dilanjutkan dengan perbincangan seterusnya.
“Ini proses itulah dan saya ingin berterima kasih kepada otai-otai yang datang berkunjung ke Kediaman Rasmi MB Kedah hari ini (semalam),” ujarnya yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.
Ketika ditanya sama ada terdapat sebarang permintaan dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, ia belum sampai ke tahap itu kerana masih di peringkat awal.
“Kita berkongsi pengalaman masa lalu dan jangkaan-jangkaan masa depan. Tentunya ada susulan, bila di peringkat pusat ada keputusan, kita akan bertemu balik,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata, pertemuan santai minum petang itu sangat positif.
“UMNO Kedah mengadakan kunjungan ke Kediaman Rasmi MB Kedah untuk pertemuan secara tidak rasmi dan saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, UMNO Kedah juga mendapat bayangan bagaimana untuk meletakkan perundingan antara kedua-dua parti tersebut di meja rundingan jika bergerak bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.
“Kami bagaimanapun tidak berbincang sebarang topik mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana itu terlalu awal untuk dibincangkan. Lagipun pertemuan itu bukannya secara rasmi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pertemuan Sanusi, pimpinan UMNO Kedah bentuk suasana positif appeared first on Kosmo Online.





