
PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, menolak bantahan awal dikemukakan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berdepan satu pertuduhan mengabaikannya kanak-kanak autism itu, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan yang dihadapi Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tidak cacat dan mengikut peruntukan undang-undang.
“Tiada unsur dalam pertuduhan yang menunjukkan tertuduh dinafikan untuk membangkitkan pembelaan yang sewajarnya.
“Oleh itu, bantahan awal dikemukakan pembelaan ini ditolak, kes untuk bicara akan bermula 2 petang ini,” katanya.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
AKAN MENYUSUL

