Pertukaran Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM tiada kaitan kes CBT - Zambry

LocalPolitics
7 Nov 2024 • 4:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zambry Abd Kadir. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Langkah menggantikan Profesor Emeritus Datuk Raduan Che Rose dengan Tan Sri Mohd Khamil Jamil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) tiada kaitan dengan pendakwaan di mahkamah membabitkan Raduan pada Ogos lepas, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, langkah itu merupakan proses penggantian biasa.

"Apabila tiba masanya seseorang pergi (tamat tempoh berkhidmat), mereka akan pergi dan kemudian kita perlu mencari pengganti.

"Itu adalah perkara biasa untuk sebarang proses penggantian," katanya kepada pemberita selepas Dialog Meja Bulat Naib Canselor Amerika Syarikat-Malaysia: Kerjasama dalam Pendidikan Tinggi 2024 hari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi pada Selasa lepas mengumumkan Mohd Khamil yang juga bekas pengarah urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad dilantik bagi menggantikan Raduan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM berkuat kuasa hingga 3 November 2027.

Raduan, 64, yang juga presiden Majlis Profesor Negara (MPN) didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM271,000 daripada dana majlis itu. - Bernama