
KUALA LUMPUR 23 Dis – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2026 dijangka sederhana kepada 4.2% berbanding anggaran 4.8% pada 2025, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.
Kenanga berkata permintaan domestik dan pengembangan berterusan sektor perkhidmatan akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
“Ketidaktentuan luaran masih menjadi cabaran utama pada 2026 khususnya berpunca daripada langkah tarif Amerika Syarikat (AS) yang masih berterusan.
“Namun begitu, permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh perbelanjaan berterusan, aliran pelaburan yang stabil serta sokongan kerajaan yang bersasar dijangka dapat menampan tekanan luaran ini dan mengekalkan trajektori pertumbuhan yang stabil serta mampan,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Kenanga IB menjelaskan permintaan domestik dijangka terus menyokong pertumbuhan, bersama-sama aliran masuk pelancong yang kukuh, keadaan pasaran buruh yang stabil serta peningkatan sederhana dalam aktiviti perdagangan.
Bank pelaburan itu berkata jualan perdagangan pengedaran dijangka berkembang sebanyak 6.1% pada 2026, berbanding anggaran 5.7% pada 2025 dan 5.5% pada 2024.
“Momentum jualan kekal kukuh dengan purata pertumbuhan 5.3% tahun ke tahun dalam 10 bulan pertama 2025, disokong oleh perbelanjaan musim perayaan, peningkatan ketibaan pelancong serta bantuan tunai sekali bayar Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100,” katanya.
Ia berkata pasaran buruh dijangka kekal stabil pada 2026, disokong oleh kenaikan gaji minimum, penciptaan pekerjaan berterusan dalam sektor perkhidmatan serta pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan.
“Kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 3% bagi 2026, selaras dengan keadaan pasaran buruh yang stabil pada 2025 (3%) dan 2024 (3.3%),” tambahnya.
Dari segi luaran, Kenanga IB menjangkakan prestasi kekal sederhana pada 2026 dengan pertumbuhan eksport dijangka menyusut kepada 5.1% berbanding anggaran 6.0% pada 2025 (2024: 5.8%).
Ia berkata eksport meningkat 6.1% dalam 11 bulan pertama 2025 di sebalik penghantaran perlombongan yang lebih lemah, gangguan bekalan, harga komoditi yang lebih rendah serta pengukuhan ringgit, yang menjejaskan daya saing harga bagi beberapa komoditi eksport.
“Melangkah ke hadapan, tekanan luaran dijangka meningkat pada 2026 apabila kesan tarif AS mula dirasai dan pemulihan ekonomi China kekal perlahan, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada eksport berkaitan komoditi.
“Peningkatan awal eksport ke AS pada 2025 dijangka berkurangan pada 2026 apabila tempahan kembali normal,” tambahnya. -- BERNAMA



