Pertumbuhan pusat data, AI tingkatkan tekanan terhadap bekalan elektrik Malaysia - Fadillah

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 3:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan pusat data, AI tingkatkan tekanan terhadap bekalan elektrik Malaysia - Fadillah Image from: Pertumbuhan pusat data, AI tingkatkan tekanan terhadap bekalan elektrik Malaysia - Fadillah sarah04/11/2026 - 15:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - Pertumbuhan pesat pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor meningkatkan tekanan terhadap sistem bekalan elektrik Malaysia, sekali gus menuntut pembangunan infrastruktur tenaga yang lebih pantas bagi mengelakkan kekangan bekalan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi membuka peluang pekerjaan berkualiti dan memperkukuh syarikat tempatan, namun turut menyebabkan permintaan elektrik serta keperluan infrastruktur sokongan terus meningkat.

 

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, unjuran kerajaan menunjukkan permintaan elektrik pada waktu puncak di Semenanjung Malaysia boleh meningkat daripada 21.3 gigawatt (GW) pada 2026 kepada 33.5GW menjelang 2035, iaitu pertambahan kira-kira 57% dalam tempoh kurang sedekad.

 

“Ini merupakan peningkatan yang besar dalam tempoh kurang sedekad,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kerja Jawatankuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Pusat Inovasi Edra, Melaka, hari ini.

 

Pembangunan pusat data perlu seiring kapasiti grid

Fadillah berkata, perkembangan pusat data di Melaka, termasuk peluang kerjasama yang sedang diteroka antara Melaka Corporation (MCORP) dan Edra, memperlihatkan keperluan menyelaraskan pelaburan digital dengan ketersediaan elektrik, kapasiti grid, bekalan air serta kemudahan asas lain.

 

Menurutnya, pembangunan infrastruktur tenaga perlu dilaksanakan lebih awal supaya kekangan kapasiti tidak menghalang pertumbuhan industri, manakala pelaburan dalam penjanaan elektrik sahaja tidak mencukupi tanpa rangkaian penghantaran dan pengagihan yang berkesan.

 

“Infrastruktur yang kita bangunkan hari ini mesti memenuhi keperluan masa depan,” katanya sambil menekankan kepentingan memperkukuh kapasiti dan daya tahan grid nasional bagi menampung perubahan permintaan elektrik.

 

Turbin gas kekal penting untuk kestabilan bekalan

Beliau berkata, penjanaan elektrik berasaskan gas asli masih diperlukan bagi memastikan bekalan yang stabil dan fleksibel, khususnya ketika Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga solar serta sumber tenaga boleh diperbaharui lain.

 

Fadillah turut mengingatkan bahawa ketegangan geopolitik, turun naik harga bahan api, gangguan rantaian bekalan dan risiko perubahan iklim boleh menjejaskan ketersediaan serta kos tenaga, sekali gus memerlukan perancangan teliti untuk mengekalkan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan mampu dibayar.

 

Dalam pada itu, beliau mengiktiraf sumbangan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan Edra di Melaka yang mempunyai kapasiti terpasang 2,242 megawatt (MW), sambil menggalakkan penyertaan pembekal tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga mahir bagi memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved