Pertumbuhan rumpai ancaman pesawah padi ketika musim panas - penyelidik UPM
zulfadli
06/06/2023 - 10:51
KUALA LUMPUR 6 Jun - Pertumbuhan rumpai merupakan antara ancaman yang akan dihadapi oleh pesawah ketika musim panas, kata Penyelidik Laboratori Pengeluaran Tanaman Pintar-Iklim, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zulkarami Berahim.
Zulkarami berkata, sekiranya air tiada di bendang, masalah rumpai menjadi semakin teruk kerana pertumbuhan rumpai lebih cepat berbanding padi semasa awal pertumbuhan pokok padi.
Beliau berkata, cuaca panas akan mengundang banyak penyakit padi dan perosak tanaman padi seperti karah, reput tangkai, dan sebagainya.
Katanya, penyakit dan perosak amat sensitif terhadap perubahan suhu serta kelembapan yang akan mencetuskan keadaan yang sesuai untuk sesuatu penyakit atau perosak untuk membiak dan tersebar.
"Apabila kekurangan air, ketahanan pokok padi menjadi rendah dan mudah untuk penyakit dan perosak menyerang. Pokok padi tergolong dalam keluarga rumpai yang sensitif kepada stres air atau kemarau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkarami, sumber air yang semakin terhad akan menjejaskan produktiviti hasil padi terutamanya di jelapang padi yang terdedah kepada kemarau seperti di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kelantan (jumlah air hujan kurang dari 200 mm/bulan).
Awal Mei lalu katanya, media melaporkan, KADA merekodkan kerugian lebih RM2.7 juta apabila hampir 30% hasil padi di Kelantan, merosot akibat musim kemarau.

Beliau berkata, sebagai persiapan fenomena El Nino, beberapa langkah boleh dilakukan kerajaan dan pihak berkaitan dalam membantu pesawah untuk menambahbaik pengeluaran beras dan padi seperti pemberian insentif menarik atau kemudahan fasiliti serta pengairan cekap dan efisien.
"Kerajaan perlu membantu para pesawah dengan menyediakan sumber air bawah tanah di beberapa tempat yang penting termasuklah mencari jalan alternatif dengan menggalakkan kajian lebih terperinci dijalankan.
"Sesi perbincangan serta tindakan bersama pesawah dan agensi terlibat perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan tanaman padi secara muafakat," katanya.

Beliau berkata, pesawah boleh melakukan penyediaan air yang mencukupi melalui kolam tadahan, takungan, sumber air bawah tanah dan sistem pam air yang sesuai.
Katanya, penambahan baja 'muriate of potash (MOP)' atau 'pottasium (K)' boleh dijadikan sebagai bahan untuk mengurangkan kesan kemarau pada pokok padi.
"Seterusnya, pemilihan benih padi yang sesuai dan cepat matang atau singkat seperti 100 hari berbanding 120 hari kebiasaannya boleh digunakan agar pokok padi dapat melepasi peringkat pembiakan setelah tiada air seperti benih padi 'MR220CL2'.
"Penggunaan teknologi terkini kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau dron untuk pengurusan tanaman padi yang tepat membantu pesawah membuat keputusan yang tepat bagi menyelesaikan isu atau masalah berkaitan padi," katanya.
Katanya, tanaman padi perlu diberi keutamaan sebagai sekuriti makanan kerana ia masih tidak mencukupi iaitu sekitar 72% di Malaysia. - DagangNews.com

