Perubahan kadar cukai hanya melibatkan perkhidmatan, bukan jualan - MOF
diyana
05/03/2024 - 12:02
KUALA LUMPUR 5 Mac - Perubahan kadar cukai yang dikuatkuasakan baru-baru ini pada 1 Mac 2024 hanya melibatkan cukai perkhidmatan dan bukan cukai jualan, kata Kementerian Kewangan,
Kementerian itu menjelaskan bahawa cukai perkhidmatan merupakan salah satu daripada dua jenis cukai yang merangkumi cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Bagi cukai perkhidmatan, kementerian itu berkata ia melibatkan perkhidmatan bercukai tertentu, termasuk yang diimport dan digital dengan kadar cukai 6% hingga 8%.
Ini merupakan cukai yang dibayar oleh peniaga dan pengguna dan hanya dicaj secara seperingkat oleh pembekal perkhidmatan.
Berbeza dengan cukai jualan pada kadar 5% hingga 10% yang hanya dibayar oleh pengilang dan peniaga bagi barang bercukai yang dikilang atau diimport ke Malaysia.

Ia merupakan cukai yang hanya dicaj pada satu peringkat dalam rantai bekalan, iaitu di peringkat import atau pengilangan.
“Namun begitu, terdapat juga pengecualian cukai terhadap barangan (beras, telur dan lain-lain) dan perkhidmatan (bekalan air dan penghantaran makanan) yang menjadi kegunaan harian dan keperluan asas bagi rakyat.
“Rakyat sebagai pengguna disarankan untuk berwaspada terhadap pihak yang mengambil kesempatan daripada perubahan percukaian ini,” kata kementerian itu dalam hantaran di media sosial hari ini.
Penjelasan lebih teliti berhubung peluasan skop perkhidmatan bercukai dan perubahan kadar cukai perkhidmatan ini turut dikongsi di laman web Kementerian Kewangan.
Kementerian itu menekankan perubahan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.
“Sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%. Ini termasuk perkhidmatan baharu iaitu logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%,” katanya. - DagangNews.com


