
BANDAR PERMAISURI: Perumahan mampu milik dan menaik taraf infrastruktur menjadi antara agenda utama calon Barisan Nasional (BN) dan calon PAS yang bertanding di kerusi Parlimen Setiu, jika diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon BN Abdul Rahman Mat Yasin (gambar) berkata keperluan menyediakan perumahan mampu milik bagi penduduk di kawasan itu yang majoritinya golongan B40 dan bekerja sendiri amat mendesak seiring dengan pertambahan populasi penduduk.
Beliau berkata perancangan perumahan secara tersusun mengikut demografi penduduk iaitu di kawasan pantai yang melibatkan perikanan dan industri hiliran serta daratan yang menumpukan kepada kegiatan pertanian perlu disediakan segera.
“Dengan adanya perumahan mampu milik yang tersusun dan jaringan akses perkhidmatan yang lebih selesa seperti Internet, pusat pengedaran dan pemasaran akan meningkatkan kegiatan ekonomi setempat.
“Justeru, sekurang-kurangnya 1,000 perumahan mampu milik perlu dibina di setiap empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Setiu dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Abdul Rahman yang pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari 2015 hingga 2018 juga berkata selain itu, Bandar Permaisuri sebagai pusat pentadbiran di Setiu perlu ditransformasikan kepada sebuah bandar satelit.
“Pusat pentadbiran ini terkebelakang sedikit berbanding daerah lain di Terengganu. Sekiranyacinfrastruktur dinaik taraf dengan kemudahan yang moden ia akan mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, calon PAS Shaharizukirnain Abd Kadir yang juga penyandang bagi Parlimen Setiucberkata beliau sekali lagi akan menyuarakan isu infrastruktur seperti stadium mini, klinik kesihatan, balai polis dan kemudahan sukan meskipun telah beberapa kali dibangkitkan di Dewan Rakyat sebelum ini.
“Kebanyakan infrastruktur sedia ada telah uzur dan mengalami kerosakan teruk yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna. Perkara ini saya akan terus perjuangkan sehingga permohonannya dapat diluluskan,” katanya.
Selain Abdul Rahman dan Shaharizukirnain, dua calon lain yang turut bertanding merebut kerusi Parlimen Setiu, ialah Mohamad Ngah (PH), dan Wan Adnan Wan Ali (Pejuang).
Seramai 107,294 pemilih berdaftar layak memilih wakil rakyat di kawasan itu pada hari pengundian yang ditetapkan Sabtu depan.-Bernama
