
Oleh Hafiz Hanafiah, wartawan pelatih
Sepertimana yang kita ketahui, di dalam al-Quran terdapat ayat yang berbentuk perumpamaan. Antaranya ialah ayat 24 di dalam Surah Hud dimana Allah S.W.T telah memberikan perumpamaan kepada orang kafir dan orang beriman.
Firman Allah S.W.T:
۞مَثَلُ ٱلۡفَرِيقَيۡنِ كَٱلۡأَعۡمَىٰ وَٱلۡأَصَمِّ وَٱلۡبَصِيرِ وَٱلسَّمِيعِۚ هَلۡ يَسۡتَوِيَانِ مَثَلًاۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ٢٤
Bermaksud: Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?)
Surah Hud (24)
Pandangan Ulama Tafsir
Menurut Sayyid Qutb di dalam Tafsir Fi Zilal Al-Quran, Golongan pertama dibandingkan dengan si buta yang tidak dapat melihat dan dengan si pekak yang tidak dapat mendengar. Ia dibandingkan dengan seorang yang tidak menggunakan pancaindera dan anggota-anggotanya untuk melaksanakan fungsi-fungsi utamanya iaitu menggunakannya sebagai alat-alat yang menyampaikan perutusan-perutusan kepada hati dan akal agar ia memahami dan memikirkannya. Oleh sebab itu, ia seolah-olah tidak mempunyai anggota-anggota dan pancaindera itu
Sementara golongan yang kedua dibandingkan dengan si Celik yang dapat melihat dan dengan mendengar yang dapat mendengar. Iaitu seorang yang sentiasa dipandu oleh penglihatan dan pendengarannya ke jalan yang betul.
Pernyataan selepas dikemukakan perbandingan dalam bentuk gambar fizikal itu tidak memerlukan kepada jawapan kerana gambaran itu sendiri merupakan jawapan yang jelas.
Isu seperti ini hanya memerlukan peringatan sahaja kerana ia terlalu jelas yang tidak memerlukan kepada berfikir panjang. Itulah fungsi gambaran yang banyak terdapat dalam uslub pengungkapan al-Quran, di mana ia memindahkan isu-isu yang memerlukan debatan fikiran kepada isu yang mudah difahami dan tidak memerlukan selain dari memerhati dan mengingat sahaja.
Menurut Tafsir Ibnu Katsir golongan orang-orang kafir yang disifati dengan kesengsaraan dan golongan orang-orang mukmin yang memperoleh kebahagiaan. Kelompok yang pertama itu adalah seperti orang buta dan tuli sedangkan kelompok kedua adalah seperti orang yang melihat dan mendengar.
Dengan demikian orang kafir itu buta dari kebenaran selama hidup di dunia dan di akhirat ia tidak akan pernah mendapat petunjuk menuju kepada kebaikan dan tidak perlu mengetahuinya serta tuli dari berbagai hujah sehingga ia tidak. apat mendengar apa yang bermanfaat baginya. Sebagaimana yang difirmankan Allah SWT.
Sedangkan orang mukmin mempunyai kecerdasan dan fikiran yang cemerlang. Serta mampu melihat kebenaran. Dapat membezakan antara yang hak dan yang batil sehingga ia akan mengikuti kebaikan dan meninggalkan segala hal yang buruk.
Dan ia juga dapat mendengar hujah dan mampu membezakannya dari hal-hal yang syubhah (samar-samar) sehingga ia tidak akan terjebak dalam kebatilan. Dengan demikian, apakah sama antara kelompok pertama dengan kelompok yang kedua.

Kesimpulannya ialah sebagai orang islam yang beriman, kita mestilah sentiasa taat dengan semua perintah dan larangannya. Kita juga mesti memelihara semua anggota badan dan pacaindera kita daripada melakukan maksiat dan meggunakannya untuk berbuat kebaikan. Contohnya, sentiasa membaca al-Quran serta mengambil intipati yang terdapat di dalamnya.
Akhir sekali, kita juga mesti mempertahankan dan memperjuangkan Islam dalam semua aspek. Contohnya, walaupun kita tidak mampu sertai Palestin untuk melawan Israel akan tetapi kita mampu membantunya dengan menghulurkan bantuan dengan wang atau menyebarkan tentang kekejaman Israel yang mencabuli hak asasi manusia rakyat Palestin. Wallahua’lam.
The post Perumpamaan antara orang beriman dan orang kafir first appeared on UMMAHToday | Sumber Berita Mutakhir Ummah.
