
SHAH ALAM, 24 JUN: Sejumlah RM 1.98 juta dibelanjakan tahun ini bagi membantu 502 pelajar India dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata bantuan berkenaan digunakan untuk membiayai yuran penerima yang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah.

“Untuk pelajar diploma, mereka bakal menerima bantuan sehingga RM3,000 manakala untuk pelajar ijazah sebanyak RM5,000.
“Bantuan ini diserahkan secara berperingkat. Hari ini melibatkan 176 penerima kumpulan pertama manakala fasa kedua dan ketiga akan diserah pada Julai serta Ogos,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan skim Bantuan Yuran IPT Bagi Pelajar Komuniti India B40 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ganabatirau berkata bantuan pendidikan itu diserahkan terus kepada pihak bendahari IPT bagi melancarkan urusan pembayaran yuran.
“Kaedah seperti ini digunakan kali pertama pada tahun ini. Sebelum ini kita menyerahkan cek kepada penerima untuk diuruskan sendiri.
“Tahun ini juga had pendapatan isi rumah keluarga pemohon dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM3,000. Jadi lebih ramai pelajar bakal terima manfaat,” katanya.
The post Peruntuk hampir RM2 juta bantu 502 pelajar India B40 lanjut pelajaran appeared first on Selangorkini.
