Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan satu langkah penting dalam mengawal selia platform digital berskala besar di Malaysia. Bermula 1 Januari 2026, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta pengguna atau lebih di Malaysia akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).
Langkah ini dilaksanakan melalui Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Antara platform yang terlibat termasuk:
- YouTube
- Telegram
- TikTok
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang pelaksanaan Peruntukan Deeming ini.
Apa Itu ‘Peruntukan Deeming’?
Seksyen 46A (Peruntukan Deeming) merupakan peruntukan baharu yang telah diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). Peruntukan Deeming ini, yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025, membolehkan mana-mana pihak disifatkan sebagai berdaftar di bawah lesen kelas melalui suatu Perisytiharan Menteri tanpa keperluan untuk mengemukakan permohonan pendaftaran secara formal.
Selepas “disifatkan berdaftar”, penyedia perkhidmatan akan dianggap sebagai pemegang lesen kelas dan tertakluk kepada semua obligasi di bawah AKM 1998.
Kenapa MCMC Laksanakan Langkah Ini?
Menurut MCMC, tujuan utama langkah ini ialah untuk:
- Memastikan platform digital besar beroperasi dalam kerangka undang-undang Malaysia
- Mewujudkan pengawasan yang lebih konsisten dan berkesan
- Memperjelas tanggungjawab platform terhadap keselamatan pengguna
- Memberi perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak dan keluarga
Pendekatan ini juga selari dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.


Kesan Kepada Platform Media Sosial
Jadi, selaras dengan pelaksanaannya, apa pula kesannya kepada platform yang terlibat?
1. Platform Perlu Lebih Bertanggungjawab
Dengan status sebagai pemegang lesen ASP(C), platform seperti TikTok, Meta dan Google dijangka:
- Lebih responsif terhadap aduan pengguna
- Lebih tegas menangani kandungan berbahaya, scam dan eksploitasi
- Mematuhi undang-undang tempatan dengan lebih jelas
Ini bermakna pendekatan “kami hanya platform” tidak lagi boleh dijadikan alasan.
Pendekatan ini selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
2. Operasi Global Kekal, Tapi Tertakluk Undang-Undang Malaysia
MCMC menegaskan bahawa:
- Platform tetap beroperasi seperti biasa
- Tiada sekatan akses atau larangan penggunaan diumumkan
- Namun, operasi mereka tertakluk kepada pengawalseliaan tempatan
Ringkasnya, pengguna tidak akan nampak perubahan mendadak, tetapi dari sudut pentadbiran dan pematuhan, platform perlu lebih bersedia.
Ini kerana, setelah ‘disifatkan berdaftar’ penyedia perkhidmatan perlu mematuhi :
- Peruntukan AKM 1998 dan perundangan subsidiarinya;
- Instrumen kawal selia lain yang dikeluarkan di bawah AKM 1998;
- Syarat-syarat lesen kelas; dan
- Undang-undang Malaysia yang relevan yang terpakai kepada penyelia perkhidmatan
Kegagalan untuk mematuhi obligasi tersebut boleh membawa kepada tindakan kawal selia dan undang-undang terhadap penyedia perkhidmatan termasuk pengenaan denda atau penalti kewangan.
3. Keselamatan Pengguna Jadi Fokus Utama
Antara fokus utama MCMC ialah:
- Perlindungan kanak-kanak dalam talian
- Keselamatan keluarga
- Pengurangan risiko jenayah digital
Ini berpotensi membawa kepada:
- Tindakan lebih pantas terhadap kandungan melanggar undang-undang
- Polisi kandungan yang lebih ketat
- Penambahbaikan ciri keselamatan akaun
4. Bukan Lesen Baharu, Tapi Isyarat Kawalan Lebih Tegas
Pelaksanaan Peruntukan Deeming oleh MCMC bermula 1 Januari 2026 menandakan satu fasa baharu dalam pengawalseliaan platform media sosial di Malaysia. Walaupun tidak mengubah cara pengguna menggunakan aplikasi harian, langkah ini memberi tekanan positif kepada platform besar untuk lebih bertanggungjawab, telus dan patuh undang-undang tempatan.
Walaupun tidak melibatkan permohonan lesen secara manual, langkah ini memberi isyarat jelas bahawa:
- Platform digital besar kini dilihat setaraf penyedia perkhidmatan kritikal
- Era “platform bebas tanpa kawal selia” semakin berakhir
Apa Implikasinya Kepada Pengguna Biasa?
Untuk pengguna biasa:
- Aplikasi masih boleh digunakan seperti biasa – MCMC memberi jaminan bahawa operasi platform global itu akan berfungsi seperti biasa demi manfaat pengguna di Malaysia.
- Tiada bayaran tambahan atau pendaftaran pengguna diperlukan
- Perlindungan undang-undang dan keselamatan dijangka lebih kukuh
Dalam jangka panjang, pengguna berpotensi menikmati persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Maklumat Lanjut & FAQ Peruntukan Deeming
Pendekatan ini bukan sekadar kawalan, tetapi usaha mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat untuk semua, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Untuk mengetahui lebih lanjut, sila rujuk Soalan Lazim (FAQ) di bawah:



Seksyen 46A (Peruntukan Deeming) merupakan peruntukan baharu yang telah diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). Peruntukan Deeming ini, yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025, membolehkan mana-mana pihak disifatkan sebagai berdaftar di bawah lesen kelas melalui suatu Perisytiharan Menteri tanpa keperluan untuk mengemukakan permohonan pendaftaran secara formal.
Selepas “disifatkan berdaftar”, penyedia perkhidmatan akan dianggap sebagai pemegang lesen kelas dan tertakluk kepada semua obligasi di bawah AKM 1998.
Seksyen 46A diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kerangka kawal selia bagi menutup jurang pengawalseliaan dalam penguatkuasaan undang-undang Malaysia, khususnya terhadap penyedia perkhidmatan yang beroperasi secara jarak jauh dari luar negara.
Melalui peruntukan ini, penyedia perkhidmatan yang menjalankan aktiviti dalam ruang lingkup kerangka kawal selia Malaysia akan ditadbir selaras dengan undang-undang Malaysia, sekali gus dapat mewujudkan pasaran dan obligasi kawal selia yang lebih seimbang dan menyeluruh.
Perisytiharan Menteri yang dikeluarkan akan memperincikan aktiviti-aktiviti yang tertakluk kepada peruntukan Deeming dan akan disiarkan melalui laman sesawang rasmi MCMC.
Berapa lamakah tempoh sah pendaftaran penyedia perkhidmatannyang telah ‘disifatkan berdaftar’?Tiada tempoh sah tertentu. Penyedia perkhidmatan yang ‘disifatkan berdaftar’ kekal sebagai pemegang lesen sehingga ia dibatalkan. Selagi ia tidak dibatalkan, mana-mana penyedia perkhidmatan yang ‘disifatkan berdaftar’ mestilah mematuhi semua keperluan pematuhan sebagai pemegang lesen kelas.
Apakah obligasi selepas ‘disifatkan berdaftar’ dan apa kesannya sekiranya gagal mematuhi obligasi tersebut?Setelah ‘disifatkan berdaftar’ penyedia perkhidmatan perlu mematuhi :
– Peruntukan AKM 1998 dan perundangan subsidiarinya;
– Instrumen kawal selia lain yang dikeluarkan di bawah AKM 1998;
– Syarat-syarat lesen kelas; dan
– Undang-undang Malaysia yang relevan yang terpakai kepada penyelia perkhidmatan
Kegagalan untuk mematuhi obligasi tersebut boleh membawa kepada tindakan kawal selia dan undang-undang terhadap penyedia perkhidmatan termasuk pengenaan denda atau penalti kewangan.
Penyedia perkhidmatan yang ‘disifatkan berdaftar’ di bawah Peruntukan Deemign, antara lain perlu mematuhi notis yang dikeluarkan oleh MCMC dan mengemukakan maklumat seperti berikut:
– butiran syarikat
– wakil tempatan yang dilantik (terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang merupakan syarikat atau individu asing sahaja) mengikut syarat yang ditetapkan oleh MCMC ; dan
– keperluan pematuhan lain yang dinyatakan di dalam notis.
Tidak. Pembukaan pejabat fizikal di Malaysia tidak wajib, Namun, penyedia perkhidmatan mesti melantik wakil di Malaysia sebagai wakil tempatan yang akan menjadi pengantara dan bertanggungjawab antara lain bagi saluran pelaporan, penerimaan dan penyampaian dokumen serta pematuhan tugas dan tanggungjawab pemegang lesen.
Sumber: Facebook Rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

