‘Peruntukan kepada Sabah melebihi hasil cukai’

LocalPolitics
10 Nov 2025 • 4:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan telah pun memperuntukkan lebih banyak dana kepada Sabah dan jumlahnya melebihi apa yang diperoleh melalui hasil cukai, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk membantu Kerajaan Negeri melebihi 40 peratus hak hasil negeri.

Anwar, yang ditanya mengenai hak 40 peratus tersebut semasa lawatan beliau di Jalan Gaya pada Ahad, berkata Persekutuan mengutip RM10 bilion hasil cukai daripada Sabah pada 2024.

Perbualan itu menjadi tular di media sosial.

Anwar mengulangi jawapan itu pada Program Rancakkan Madani Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, kemudian.

“Berapa banyak yang dibelanjakan Kerajaan untuk Sabah? Walaupun memperoleh RM10 bilion, ia membelanjakan RM17 bilion untuk membangunkan sekolah, bidang perubatan, keselamatan sempadan dan Komando Keselamatan Timur Sabah (Esscom).

“Kita menggunakan hasil yang diperoleh untuk membangunkan Malaysia dan secara kebetulan Sabah yang sedikit terpinggir menerima lebih banyak bantuan,” katanya.

“Kelantan yang merupakan negeri miskin dan menghadapi banjir setiap tahun. Kita membelanjakan berbilion (untuk bantuan mereka) walaupun negeri itu merupakan negeri pembangkang. Perlis juga negeri miskin dengan hasil yang tidak mencukupi (di mana) gaji kakitangan kerajaan mereka dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sekurang-kurangnya Sabah lebih baik, gaji kakitangan Kerajaan Negeri dibayar oleh kerajaan sendiri. Inilah yang anda panggil sebuah negara, kita ambil berat terhadap Sabah dan juga Perlis,” tambah beliau.

Beliau juga berkata perkara ini perlu dilihat sebagai kesaksamaan dalam membantu setiap negeri di Malaysia bagi memastikan setiap pelusuk negara dibangunkan dan bukan hanya menumpukan pada satu kawasan sahaja.

Walaupun menyalurkan RM17 bilion, Anwar berkata sesetengah pihak masih menganggap jumlah itu tidak mencukupi tetapi lawatan berterusannya ke Sabah jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinannya sentiasa mengambil berat tentang suara rakyat Sabah.

Beliau berkata sepanjang tiga tahun memimpin pentadbiran, beliau adalah Perdana Menteri yang paling banyak menjejakkan kaki ke Sabah kerana ingin memahami keperluan sebenar rakyat dan cabaran pembangunan di negeri ini.

“Pada 22 November ini, saya telah menjadi Perdana Menteri Kerajaan Madani selama tiga tahun. Dan sejak mengambil alih, Kerajaan Persekutuan telah menambah peruntukan untuk Sabah dan ini adalah fakta.

“Saya orang Pulau Pinang, jika ikut sentimen itu sudah tentu saya akan beri semua kepada Pulau Pinang. Tetapi tidak, saya Perdana Menteri Malaysia. Ramai rakyat miskin di Sabah, jalan berlubang dan bilangan sekolah usang, jadi kita bantu mereka,” tambahnyaBeliau juga berharap golongan belia, terutamanya di Sabah, terus memahami hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinannya komited untuk membantu bukan sahaja satu negeri tetapi memberi tumpuan kepada seluruh negara.