Peruntukan RM2.3 juta bantu kuil di Selangor tahun ini

23 Jun 2023 • 10:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Negeri memperuntuk kira-kira RM2.3 juta kepada persatuan rumah ibadat selain Islam kategori kuil untuk tahun ini.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) berkata RM1.71 juta sudah diagihkan kepada 123 kuil sehingga hari ini.

Menurut V Ganabatirau, baki RM515,000 lagi akan disalurkan dalam masa terdekat kepada 176 kuil.

“Komitmen Kerajaan Negeri dalam menelusuri permasalahan dan isu masyarakat selain Islam terserlah menerusi pembentukan Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam sejurus selepas pengambilalihan tampuk pimpinan negeri pada tahun 2008.

image is not available
Wakil Persatuan Penganut Sri Agilandeswary Amman Kapar, M Palaniandy

“Jawatankuasa ini berperanan sebagai medium perbincangan dan penyelesaian isu rumah ibadat, pertikaian tanah, permohonan tapak serta isu berkait dengan pembangunan dan kemajuan sesebuah kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek bantuan kewangan kepada Persatuan Rumah Ibadat Selain Islam di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

image is not available
Wakil Persatuan Penganut Sri Durgai Amman, R Harinantha

Sementara itu, wakil Persatuan Penganut Sri Agilandeswary Amman Kapar, M Palaniandy berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan rumah ibadat bukan Islam.

“Terima kasih Kerajaan Selangor, bantuan ini akan digunakan sebaiknya untuk membaik pulih kuil yang usianya sudah melebihi 100 tahun,” katanya.

Manakala, wakil Persatuan Penganut Sri Durgai Amman, R Harinantha berkata Kerajaan Negeri tidak putus memberi sumbangan kepada kuil berkenaan saban tahun.

“Kami akan menggunakan sebaiknya untuk tujuan keagamaan dan berharap bantuan seperti ini diteruskan dan ditambah lagi peruntukan pada masa akan datang,” katanya.