Peruntukan RM22.75 juta untuk pertanian perlihat N.Sembilan serius tingkat jaminan makanan

7 Dec 2023 • 3:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Peruntukan berjumlah RM22.75 juta bagi sektor pertanian menerusi Belanjawan 2024 memperlihatkan Kerajaan Negeri Sembilan serius dalam meningkatkan sekuriti dan jaminan bekalan, kata Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias (gambar).

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri berkata peruntukan yang merupakan antara terbesar itu juga membolehkan pelbagai usaha dilaksanakan untuk terus membangunkan sektor itu sebagai industri yang menjana ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri Sembilan begitu serius dalam membela dan mengambil kira keperluan sektor pertanian, perladangan, komoditi, kos sara hidup dan kehidupan di luar bandar.

“Selain itu, suka saya memberi fokus kepada peruntukan RM1.4 juta untuk pembangunan industri asas tani dan pengetahuan usahawan tani yang selari dengan hasrat melihat sektor pertanian ini kekal relevan dan diminati tanpa mengira zaman,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ia bukan sahaja tertumpu kepada pemain industri semata-mata, tetapi juga mempergiat usaha menarik minat golongan muda termasuk dalam kalangan siswazah untuk menceburi bidang pertanian.

Menurut Jalaluddin peruntukan berkenaan juga dapat digunakan secara maksimum bagi menambah nilai usahawan tani termasuk dari segi strategi pemasaran, penyelidikan dan pembangunan produk serta pengkomersialan ke peringkat antarabangsa.

“Ini kerana Negeri Sembilan memiliki pelbagai jenis produk tempatan berasaskan pertanian yang berkualiti dan berkhasiat. Jadi saya yakin peruntukan besar ini mampu memberi dimensi baharu terhadap sektor pertanian dan industri asas tani,” katanya.

Peruntukan RM22.75 juta untuk sektor berkenaan merangkumi program peningkatan pengeluaran sayuran, buah-buahan dan hasil padi (RM5.25 juta), pengembangan teknologi dan automasi (RM2.5 juta) serta ternakan dan genetik ternakan (RM2.24 juta).

Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Bersama Membina Negeri Madani berjumlah RM555 juta membabitkan ekonomi, pelaburan serta infastruktur, pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat serta pertanian. -Bernama