
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata Bajet Negara 2023 yang dibentangkan di Parlimen pada 7 Okt lepas konsisten dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir daripada pembangunan arus perdana.
“Saya mengucapkan syabas kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ia adalah kesinambungan momentum pemulihan negara daripada pandemik, yang kini berada dalam fasa endemik dan Kerajaan Negeri mengalu-alukan bajet inklusif seperti ini,” katanya.
Mengulas selepas menonton siaran langsung pembentangan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Hajiji menyambut baik peruntukan RM6.3 bilion untuk Sabah tahun depan.
“Ia adalah peningkatan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion (sebelum ini). Sabah menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memberi penekanan kepada pembangunan negeri,” katanya. Selain itu, komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan keselamatan Sabah dengan penaiktarafan di Esscom Lahad Datu di samping menyediakan aset keselamatan tambahan dan pembinaan hospital medan tahun depan.
Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM1.2 bilion untuk membaiki sekolah usang yang merangkumi 123 projek di Sabah, serta RM430 juta lagi untuk membina lima sekolah baharu di seluruh negara, termasuk SMK Nabalu di Kiulu tahun depan.
Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi jaminan peruntukan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, yang dijangka siap pada 2024.
Juga pembangunan Bandar Sempadan termasuk pembinaan jalan yang menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris di Indonesia.
Tengku Zafrul juga menyatakan RM250 juta akan diperuntukkan untuk membangunkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar tahun depan.
“Sabah juga mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu meringankan kesusahan rakyat yang boleh dilihat melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) membabitkan lebih RM10 bilion tahun depan,” kata Ketua Menteri.
“Saya mengalu-alukan pemberian subsidi elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih,” katanya.
Sabah juga mengalu-alukan pelbagai inisiatif dalam sektor pelancongan, yang diharapkan dapat membantu meningkatkan hasil.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Wetrom Bahanda, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Rosmadi Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


