Peruntukan Tambahan RM500 Juta Atasi Masalah Air Bersih Di Kelantan - Anwar

LocalPolitics
18 Jun 2023 • 6:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar menyampaikan ucapan pada Program "Temu Anwar" di Universiti Malaysai Kampus Bachok (UMK) hari ini. - Gambar Bernama

BACHOK - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan.

Beliau berkata peruntukan itu adalah hasil daripada perbincangan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Kelantan sebelum ini. 

"Kita bincang dengan kerajaan Kelantan untuk atasi masalah air bersih. Saya kata nak minta banyak sangat tidak boleh. 

"Jadi kita mulakan projek, tetapi perlu dikendalikan bersama dan diuruskan mengikut saluran yang betul," katanya ketika berucap pada Program 'Temu Anwar Kelantan' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, di sini hari ini, yang turut dihadiri lebih 5,000 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu bermula tahun ini.

Sementara itu seorang pelajar universiti yang ditemui di sini, Nur Syaqirah Abu Bakar berkata usaha kerajaan membantu untuk mengatasi isu air di Kelantan wajar diberi perhatian, kerana isu bekalan air sering menimbulkan masalah yang amat membebankan kepada pelajar, terutama di kampus.

"Kadang-kadang dalam seminggu ada lima hingga enam kali akan berlaku gangguan air dekat kampus seperti air menjadi keruh dan perlahan. Apabila masalah ini berlaku saya terpaksa masuk lewat sedikit dalam kelas dan ia menganggu pembelajaran saya," katanya

Bagi peniaga Noor Kartini Awang, 35, tindakan Perdana Menteri memberi peruntukan tambahan untuk selesaikan masalah air di Kelantan menunjukan keprihatinan kerajaan tanpa mengira latar belakang politik dan sebagainya.

"Sangat bagus dan saya rasa gembira dengan pengumuman ini kerana kami rakyat Kelantan sering berdepan dengan masalah bekalan air bersih," katanya.

Seorang penternak di sini Abdullah Hamid, 63, pula berharap usaha kerajaan membantu negeri Kelantan akan berterusan supaya rakyat dapat menikmati segala kemudahan infrastruktur dan pembangunan seiring dengan kemajuan negara. - Bernama