
Seorang pesakit HIV di Oslo, Norway disahkan sembuh selepas pemindahan sel tunjang (stem cell) daripada abangnya menurut laporan AFP. Ini menjadikannya kes pertama di dunia penyakit yang dahulunya tiada rawatan disembuhkan melalui penderma ahli keluarga.
Pemindahan sel stem dilakukan untuk rawatan kanser darah myelodysplastic syndrome (MDS) yang dihidapi pesakit sejak 2018. Tetapi abang pesakit memiliki mutasi CCR5-delta 32, yang menjadikan sel imun kebal terhadap virus HIV-1. Mutasi ini amat jarang berlaku dengan hanya sekitar 1% populasi Eropah Utara mempunyai dua salinan mutasi tersebut.

Pemindahan sel tunjang dilakukan pada 2020 dan selepas dua tahun, pesakit yang menerima nama jolokan “Pesakit Oslo” ini berhenti mengambil rawatan antiretroviral untuk HIV. Selepas empat tahun, tiada virus HIV dikesan dalam rawan tulang dan sel perut beliau. Secara saintifiknya Pesakit Oslo telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan HIV menjadikan beliau individu ke-10 berjaya dirawat dalam sejarah.
Timothy Ray Brown ialah individu pertama dengan HIV yang berjaya dirawat pada tahun 2008. Beliau menerima jolokan “Pesakit Berlin”. Seperti Pesakit Oslo, beliau menjalani pemindahan sel tunjang bagi merawat leukemia dengan penderma mempunyai mutasi CCR5-delta 32. Walaupun hidup bebas HIV selepas rawatan, Brown meninggal dunia pada tahun 2020 apabila kembali menghidap leukemia.

