Pesakit meninggal dunia gara-gara pemandu enggan beri laluan kepada ambulans yang bergegas ke Hospital Sri Aman

7 Jan 2024 • 2:53 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Jumaat lalu, seorang pesakit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, gara-gara seorang pemandu Perodua Kembara ‘enggan’ memberi laluan kepada ambulans dalam kejadian di Sri Aman, Sarawak.

Kakitangan hospital yang menjadi saksi kejadian itu, Jerry Rentap berkata, pemandu kenderaan terbabit tidak mahu memberi laluan walaupun siren sedang berbunyi. Malah mereka cuba membunyikan hon, tetapi tidak diendahkan dan sekali gus merencatkan usaha mereka untuk segera ke Hospital Sri Aman.

“Seperti dalam video, Perodua Kembara itu enggan memberi laluan kepada ambulans, dalam keadaan siren ambulans berbunyi. Kami perlu membawa pesakit segera ke Hospital Sri Aman II,” katanya.

Menurutnya ketika itu, ada dua petugas perubatan sedang memberikan bantuan CPR kepada pesakit.

“Dua orang di dalam ambulans sedang berterusan memberi bantuan CPR kepada mangsa.

“Harap orang ramai sebagai pengguna jalan raya lebih peka dan memberi kerjasama jika ambulans membunyikan siren di jalan raya. Anda tidak tahu jika pesakit yang dibawa dalam ambulans itu dengan siren kecemasan berkemungkinan adalah saudara kamu. Buang sikit perasaan bongkak itu,” katanya.

Sementara itu isteri pesakit berkenaan, Annie Andrew, meluahkan rasa kecewa dengan sikap pemandu terbabit, sehingga menyebabkan suaminya, Morgan Alban gagal dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Orang di dalam ambulans itu adalah suami saya. Saya akan ingat nombor kereta awak sampai bila-bila. Suami saya telah meninggal dunia,” katanya.

Tak nak ketinggalan berita terkini? Sertai kami di Facebook, Instagram, X (Twitter), Telegram, WhatsApp dan Threads!