
KINABATANGAN: Seorang pesakit wanita maut manakala 11 lagi cedera selepas sebuah van Foton View bertembung dengan sebuah ambulans dalam kejadian di Jalan Paris 1 Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Ravi Duraisamy berkata wanita berkenaan yang juga pesakit strok sedang dibawa dalam ambulans dari Hospital Lahad Datu ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 pagi berhampiran Kampung Paris 1. Ambulans jenis Toyota membawa seorang pesakit strok, seorang doktor, seorang jururawat dan pemandu kedua.
“Semasa melalui jalan berselekoh sebuah van Foton yang membawa tujuh penumpang dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan dengan ambulans,” katanya.
Akibat pertembungan itu pesakit dalam ambulans meninggal dunia di lokasi kejadian selepas disahkan oleh doktor dari Hospital Kinabatangan.
Ravi berkata kedua-dua pemandu serta 10 penumpang lain cedera dan dirawat di Zon Hijau Hospital Kinabatangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




