
Siri filem adiwira dunia komik Marvel terus berkembang dan peminat serta pengikut setia dunia fantasi tersebut sentiasa ternanti-nanti dengan karya terbaharu francais itu.
Setelah berakhirnya kegemilangan kumpulan ‘Avengers’ yang asal, Captain America yang baharu sempat diperkenalkan beberapa bulan lalu sebagai pembukaan kepada angkatan terkini kumpulan adiwira tersebut.

Dan terbaharu, sekumpulan lagi adiwira yang digelar Thunderbolts* menemui penonton melalui filem terkini dunia sinema Marvel.
Penulis sempat menonton treler filem ini sewaktu ia diselitkan dalam promosi filem-filem terbitan serta edaran Disney sebelum ini. Tika itu, sejujurnya ia tidak kelihatan begitu menarik namun tampak lucu kerana skripnya yang disulam dengan banyak unsur lawak dan komedi.
Penulis tak menjangkakan ia sehebat filem-filem Marvel sebelum ini, namun sebaik sahaja menonton filemnya, tanggapan penulis terhadap filem ini langsung berubah.
Ternyata, Thunderbolts* filem yang bagus dan melangkaui jangkaan asal penulis tentang karya ini. Yang membuat penulis lebih gembira dan bangga dengan tayangan gambar ini adalah, bahagian awal filem ini menggunakan langit Kuala Lumpur sebagai latar belakangnya!
Ia dibuka dengan watak utama filem ini terjun dari Menara Merdeka 118 dengan menggunakan payung terjun sambil melayang di udara KL saat dibayangi Menara TRX serta Menara Berkembar KLCC.

Malah ada beberapa adegan lawan yang terjadi di dalam menara serta aksi letupan yang berlaku di Kuala Lumpur. Selain babak-babak tersebut, banyak rujukan tentang Malaysia dan Kuala Lumpur disebut di dalam cerita.
Kali ini filem berkisar Yelena, sahabat karib Natasha Romanov yang juga salah seorang pejuang kumpulan Black Widow asal yang kini bekerja sebagai pembunuh upahan. Dia kerap digaji Valentina Allegra de Fontaine, salah seorang pengarah pertubuhan perisikan CIA yang sedang cuba mencipta kumpulan adiwiranya sendiri untuk mengganti Avengers yang telah tiada.
Namun dalam proses melakukan semua ini, Valentina terbabit dengan beberapa masalah dalaman dan cuba untuk menutupi kesalahan-kesalahannya lewat penggunaan pembunuh upahan profesional lain yang juga mempunyai kemahiran serta kuasa tersendiri.
Di saat mengarah Yelena untuk menghapuskan pembunuh upahan lain di sebuah markas rahsia, Yelena bertemu dengan beberapa orang pembunuh upahan lain yang juga mempunyai kuasa serta kemahiran luar biasa.
Kesemua pembunuh upahan ini kemudian mendapat tahu bahawa mereka semua sebenarnya adalah bahan bukti terakhir Valentina dan Valentina sebenarnya sengaja ingin mereka bertemu dan saling berbunuhan supaya terselamat dari ditangkap kerajaan Amerika Syarikat.
Namun Yelena dan tiga orang pembunuh upahan tersebut dapatmenghidu rancangan Valentina dan cuba mencari jalan keluar dari markas tersebut serta menemui beberapa rahsia lain.
Dari sinilah alur cerita mula menjadi menarik saat mereka bekerjasama untuk cuba mendedahkan niat jahat sebenar Valentina kepada orang awam.
Selain sarat dengan aksi lawan yang jitu dan skripnya yang agak lucu, penulis sangat menyukai filem ini kerana ia ada pesanan manusiawi di hujung tentang peringatan buat kita, bahawa langit itu tidak selamanya mendung dan pasti ada cahaya terang yang bakal menanti. Seteruk apa pun cabaran, tiap sesuatu ada jalan keluarnya dan itu suatu motivasi positif yang boleh diambil dari karya Hollywood ini.

Selain itu, rakyat Malaysia harus bangga menonton filem ini kerana ia menggunakan Kuala Lumpur sebagai latar belakang di awal filem.
Malaysia dan Kuala Lumpur sendiri sudah beberapa kali ditonjolkan dalam ajnas karya Hollywood namun menjadi latar belakang dalam sebuah filem adiwira Marvel merupakan sesuatu yang harus dibanggakan kerana ia bukan sesuatu yang mudah dan kerap berlaku.
Sungguhpun begitu, ini bukanlah sebab utama filem ini wajar menjadi bahan tontonan rakyat Malaysia tetapi pesanan yang diterapkan dalam filem tersebut wajar menjadi pengajaran buat semua.
Berbekalkan barisan pelakon hebat, skrip lucu yang kadang berunsur satira serta kesan visual yang mengagumkan, Thunderbolts* mempunyai kesemua ramuan penting yang diperlukan untuk pembikinan sebuah filem adiwira yang hebat.
Thunderbolts* sudah boleh ditonton di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Mei 2025. - Getaran, 8 Mei 2025
