Pesara polis maut kemalangan di Batu Gajah

26 Dec 2023 • 8:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Seorang pesara polis maut apabila motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah jengkaut di Lorong 4 Bakar Kampung Ayer Papan dekat Batu Gajah semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata ketika kejadian, lelaki berusia 55 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gajah.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati apabila mangsa sampai di tempat kejadian, pemandu jengkaut keluar dari simpang sebelah kiri jalan menyebabkan mangsa yang datang di laluan sah berlanggar dengan kenderaan itu di hadapan sebelah kanan ‘bucket’ dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Roy Suhaimi berkata hasil ujian saringan air kencing pemandu jengkaut berusia 64 tahun itu didapati negatif dan tiada rekod saman.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk tujuan bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat serta menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, Inspektor G. Rissi menerusi talian 017-7615662. -Bernama