Pesara rugi hampir RM100,000 terpedaya pelaburan emas di WhatsApp

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2024 • 11:55 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA TERENGGANU, 11 SEPT: Seorang pesara kerajaan kerugian RM91,060 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki warga emas berusia 85 tahun itu mula terperdaya setelah menerima pesanan iklan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 29 Okt tahun lepas.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari sini telah ditawarkan pakej pelaburan ‘Madinah Emas’ yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

“Mangsa ditawarkan pakej VIP (orang kenamaan) dengan modal RM500 dan dijanjikan pulangan untung sebanyak RM15,800 dalam tempoh empat jam.

“Mangsa yang gelap mata dengan tawaran itu membuat pemindahan wang sebanyak 26 kali ke enam akaun bank berasingan seperti diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun setelah membuat transaksi, mangsa yang menunggu sekian lama berasa kecewa kerana tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.

Mangsa membuat laporan polis pada Isnin lepas selepas berasa tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Azli sehubungan dengan itu mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dan membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum membuat pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

-BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved