Pesara Rugi Lebih RM2 Juta Diperdaya Skim Pelaburan Online

LocalBusiness & Finance
16 May 2026 • 9:23 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pesara Rugi Lebih RM2 Juta Diperdaya Skim Pelaburan Online

KUALA LUMPUR - Dua warga emas di Pulau Pinang kerugian hampir RM2.7 juta selepas menjadi mangsa dua skim pelaburan dalam talian secara berasingan.

Kedua-dua skim berkenaan yang dipercayai dikendalikan sindiket penipuan, beroperasi menggunakan platform kewangan palsu dengan janji pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ts. Azizee Ismail berkata, kes pertama melibatkan penjaga mesin berusia 62 tahun yang mengalami kerugian RM1.294 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan dikenali sebagai Global Finance Trends XA.

Menurut beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menerima laporan daripada mangsa pada Khamis.

“Mangsa dikatakan mula berminat dengan skim tersebut selepas melihat iklan pelaburan di Facebook pada Mac lalu sebelum dihubungi seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek menawarkan pelaburan yang didakwa berasal dari China menggunakan nama Citic Wealth Advisors Sdn Bhd dengan menjanjikan pulangan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, suspek pada peringkat awal hanya memberikan tip pelaburan tempatan serta ramalan keuntungan yang didapati tepat, sekali gus menyebabkan mangsa yakin skim tersebut adalah sah.

Mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi Global Finance Trends XA bagi tujuan pendaftaran dan pelaburan, sebelum melakukan 28 transaksi pemindahan wang berjumlah RM1.397 juta ke sebuah akaun CIMB yang didaftarkan atas nama syarikat terbabit antara 6 April hingga 4 Mei lalu.

Bagaimanapun, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM103,000 sebelum menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM1 juta yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.

Dalam kes berasingan, seorang bekas pengarah syarikat wanita berusia 72 tahun turut kerugian RM1.403 juta selepas dipercayai diperdaya satu lagi sindiket pelaburan online yang beroperasi menggunakan nama Shanghai Futures Exchange.

Azizee berkata, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga asing melalui Facebook pada Julai 2023 sebelum hubungan mereka diteruskan menerusi aplikasi LINE.

“Suspek turut menghantar gambar kad pengenalannya bagi meyakinkan mangsa bahawa dia benar-benar wujud sebelum menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya.

Mangsa kemudian diarahkan mengakses sebuah laman sesawang melalui pautan yang diberikan untuk tujuan pendaftaran keahlian dan pelaburan.

Antara 27 November tahun lalu hingga 5 Februari lalu, wanita itu melakukan 53 transaksi pemindahan wang berjumlah RM1.403 juta ke 30 akaun bank berbeza, termasuk 26 akaun persendirian dan empat akaun syarikat.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM30 juta yang dipaparkan pada platform berkenaan, sebelum akaunnya disekat dan suspek tidak lagi dapat dihubungi.

“Kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - Getaran, 16 Mei 2026