IPOH – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyambut baik cadangan untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM3,000 bagi setiap tan metrik seperti ditawarkan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha PeSAWAH, Nur Fitri Amir Muhammad berkata, bagaimanapun pihaknya berharap cadangan itu tidak sekadar janji politik semata-mata.
Menurutnya, cadangan tersebut dilihat realistik dan mampu dilaksanakan tanpa memberi beban tambahan kepada kerajaan kerana kenaikan harga lantai itu dijangka menyebabkan harga beras tempatan berada sekitar RM5.50 hingga RM6 sekilogram, namun ia masih boleh diterima pengguna berdasarkan situasi semasa pasaran.
"Ketika ini pun, beras tempatan yang lebih murah sukar diperoleh dan pengguna telah terbiasa membeli beras pada harga RM3.60 hingga RM4 sekilogram atau lebih.
"Jadi, jika harga baharu ini dilaksanakan bersama mekanisme subsidi yang lebih tersusun, ia mampu memberi manfaat kepada pesawah dan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nur Fitri berkata, PeSAWAH berpendapat pendekatan menaikkan harga padi adalah lebih baik berbanding mengekalkan pelbagai subsidi input pertanian yang disifatkan kurang efisien.
Beliau menjelaskan bahawa subsidi seperti insentif pembajakan, penuaian dan input pertanian sering berdepan isu ketirisan serta kualiti bekalan yang tidak memuaskan.
"Jika pesawah mendapat harga padi yang lebih tinggi, mereka mampu membeli sendiri keperluan pertanian tanpa bergantung kepada subsidi yang kadangkala tidak sampai atau berlaku pembaziran.
"Petani sebenarnya, jika dibandingkan antara harga padi dan penerimaan subsidi, kami memilih harga padi yang lebih tinggi," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menstruktur semula subsidi dengan menumpukan kepada bantuan secara langsung kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).
Katanya, bantuan tersebut boleh disalurkan dalam bentuk subsidi harga beras tempatan melalui sistem sedia ada seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus mengurangkan ketirisan.
"Subsidi yang sebelum ini diberikan kepada input pertanian boleh dipindahkan terus kepada pengguna supaya mereka dapat membeli beras dengan harga lebih berpatutan.
"Pendekatan ini lebih telus, praktikal dan memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar sebahagian subsidi dikekalkan dalam bentuk insentif output bagi menggalakkan pesawah meningkatkan hasil pengeluaran.
Tambahnya, pelaksanaan harga lantai RM3,000 tidak perlu menunggu pertukaran kerajaan kerana ia boleh dilaksanakan oleh pentadbiran sedia ada dengan penstrukturan semula peruntukan subsidi.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komitmen menetapkan harga lantai padi RM3,000 itu akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).





