Pesawah terhimpit kos diesel, kemarau ancam hasil padi - Nurul Syazwani

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 11:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurul Syazwani (duduk tengah) semasa menziarahi golongan pesawah yang terkesan akibat kenaikan harga diesel dan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

KUALA SELANGOR – Golongan pesawah kini berdepan tekanan berganda susulan kenaikan harga diesel semasa dan keadaan cuaca kering yang menjejaskan hasil pengeluaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh, berkata diesel memainkan peranan penting dalam keseluruhan rantaian penanaman padi dan kenaikan harga memberi kesan langsung kepada kos operasi pesawah.

Menurutnya, penggunaan diesel melibatkan hampir setiap peringkat kerja sawah termasuk membajak, pengairan, penuaian serta pengangkutan hasil, sekali gus menyebabkan peningkatan kos dari awal hingga akhir musim.

“Dalam masa sama, pesawah kini berada dalam fasa kritikal apabila ada yang sedang menuai, manakala sebahagian lagi membuat persediaan untuk musim baharu.

“Keadaan kemarau yang melanda pula menyebabkan kekurangan air dan meningkatkan risiko hasil padi menjadi hampa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Nurul Syazwani berkata, gabungan faktor cuaca dan kenaikan kos menyebabkan ada pesawah bukan sahaja tidak memperoleh keuntungan, malah terpaksa menanggung kerugian.

Katanya, situasi itu diburukkan lagi apabila jentera pertanian seperti mesin penuai dan pembajak masih belum termasuk dalam skop bantuan tertentu, selain kadar subsidi sedia ada yang disifatkan tidak lagi selari dengan kos semasa.

“Selain itu, timbul persoalan mengenai insentif tunai kepada pesawah termasuk dakwaan ada yang tidak menerima bantuan berkenaan untuk beberapa musim berturut-turut,” ujar beliau.

Nurul Syazwani berkata, jika isu itu tidak ditangani dengan segera, ia berpotensi mencetuskan krisis keselamatan bekalan makanan negara.

“Pesawah adalah tulang belakang keterjaminan makanan negara dan tidak boleh dibiarkan berdepan cabaran ini sendirian,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah segera termasuk menyemak kadar subsidi diesel, memperluaskan bantuan kepada penggunaan jentera pertanian serta mengurangkan birokrasi dalam akses diesel bersubsidi.

Ujar beliau, antara cadangan lain ialah memperkenalkan sistem lebih cekap seperti penggunaan kad pintar oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) atau pengesahan terus melalui senarai pesawah berdaftar di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau turut mencadangkan kerajaan merangka pelan kontingensi nasional bagi menghadapi kemarau dan ketidaktentuan global yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara.

View Original Article