ALOR SETAR – Golongan pesawah di seluruh negara kini semakin tertekan dan bersedia menghentikan penanaman padi sekiranya kerajaan tidak segera campur tangan menangani peningkatan kos operasi yang semakin membebankan kesan kenaikan harga diesel.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kos perkhidmatan membabitkan pembajakan dan penuaian kini meningkat lebih 50 peratus dan boleh mencecah 65 peratus apabila digabungkan dengan kos input pertanian seperti baja dan racun.
Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi oleh faktor cuaca serta kenaikan harga bahan api yang memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran.
“Dalam tempoh sebulan ini sahaja, kos meningkat dengan sangat signifikan dan memberi tekanan besar kepada pesawah di seluruh negara.
"Sekarang ini, peningkatan kos untuk mengusahakan sawah terlalu tinggi dan kami bimbang jika trend ini berterusan, aktiviti penanaman padi akan terbantut dan ramai pesawah tidak mahu mengusahakan sawah musim ini,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Limbong, Langgar, di sini, pada Jumaat.
Beliau ditemui selepas bersama lebih 60 pesawah dari utara berhimpun menyatakan rasa kekesalan dan memohon tindakan campur tangan segera kerajaan bagi menangani masalah tersebut.
Jelas Abdul Rashid, pesawah melahirkan kekesalan apabila sektor tanaman padi tidak disenaraikan dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) versi 1.0 dan 2.0.
Menurutnya, ketiadaan subsidi diesel memaksa pesawah membeli bahan api pada harga pasaran semasa sekitar RM6.72 seliter.
“Keadaan ini memberi tekanan besar kepada pesawah kerana hampir keseluruhan operasi seperti penggunaan traktor, mesin padi dan pam air bergantung kepada diesel,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun kerajaan menyediakan insentif pembajakan dan penuaian, namun kadar yang diberikan disifatkan tidak relevan dengan kos sebenar.
Beliau memberitahu, insentif pembajakan RM60 sehektar dan RM50 bagi penuaian sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung kos sebenar yang mencecah melebihi RM600.
“Jurang ini sebenarnya besar dan dengan keadaan semasa hari ini, kos semakin meningkat serta tidak lagi mampu ditanggung oleh pesawah,” katanya.
Tambah Abdul Rashid, jika 30 peratus daripada 600,000 hektar kawasan padi di seluruh negara tidak diusahakan oleh pesawah pada musim ini, ia bakal memberi kesan besar kepada bekalan makanan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PeSAWAH, Azahar Hashim dari Perak pula berkata, kenaikan harga diesel turut memberi kesan kepada pengusaha jentera.
Menurutnya, kos satu tong diesel kini telah meningkat hampir tiga kali ganda berbanding sebelum ini, menyebabkan pengusaha terpaksa menaikkan kadar upah.
“Jika dahulu satu tong diesel sekitar RM45, kini meningkat kepada lebih RM130. Kenaikan ini menyebabkan pengusaha jentera terpaksa menaikkan kadar upah dan akhirnya pesawah yang menanggung beban,” katanya.
Beliau mendakwa, terdapat pesawah di Perak telah mula beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan tanaman kontan bagi menjana pendapatan yang lebih stabil.
Seorang pemilik traktor, Mohd Amirul Idris, 39, berkata, pihaknya terpaksa memindahkan kos operasi yang meningkat tersebut kepada pesawah.
Jelasnya, kenaikan harga diesel juga menyukarkan mereka menetapkan kadar upah membajak kerana harga bahan api yang tidak menentu.
"Apabila harga diesel naik setiap minggu, kami tidak dapat menetapkan kadar upah yang tetap,” ujarnya.
