Pesawat Fennec Tak Berada Pada Ketinggian & Haluan Ditetapkan Punca Nahas 2 Helikopter TLDM [Video]

30 May 2024 • 3:38 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pada 23 April lalu, negara dikejutkan dengan berita dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas sekali gus mengorbankan 10 anggota.

Tragedi terbabit berlaku ketika raptai Sambutan Hari Ulangtahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Selepas kemalangan dilaporkan berlaku, pihak TLDM mengeluarkan senarai nama mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

TLDM menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menyiasat punca insiden.

Rumusan akhir Lembaga Siasatan berkaitan dengan nahas 2 helikopter TLDM

Terbaharu, laporan akhir Lembaga Siasatan hari ini (30 Mei) merumuskan bahawa salah satu pesawat iaitu AS 555 SN Fennec tidak berada pada haluan yang ditetapkan.

Selain itu Lembaga Siasatan turut mendapati pesawat berkenaan tidak berada pada ketinggian ditetapkan.

Dapatan diperoleh daripada semakan video berdurasi 7 saat

Memetik laporan Berita Harian, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, dapatan itu diperoleh selepas melakukan semakan terhadap video berdurasi 7 saat tentang kedudukan tujuh helikopter yang terbabit dalam latihan tersebut.

“Faktor utama mendapati pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan serta memasuki laluan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139.

“Berdasarkan rakaman kedudukan semua pesawat berkenaan, dua helikopter yang terbabit dalam nahas udara berada pada haluan dan ketinggian berbeza dengan dua lagi pesawat yang berada di haluan sebelah kanan.

“Faktor sekunder mendapati Channelized attention atau tumpuan utama kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah pertukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya.

Source: