Pesawat Ringan Hilang Kawalan, Tergelincir Semasa Latihan

18 Aug 2023 • 5:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pesawat ringan yang dipandu seorang pelatih hilang kawalan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, di Batu Berendam. gambar BERNAMA

MELAKA - Seorang pelatih yang sedang menjalani latihan penerbangan berdepan detik cemas, apabila pesawat ringan yang dipandunya hilang kawalan semasa mendarat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar 12.16 tengah hari tadi, di landasan RWY 21 Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.

“Pesawat itu dikendalikan oleh pelatih wanita berusia 23 tahun dan melibatkan sebuah pesawat International Aero Training Academy Sdn Bhd (IATAC) jenis Piper 28, dalam latihan penerbangan sebelum ia hilang kawalan semasa mendarat di RWY 21.

“Tindakan sudah diambil di Post 1 untuk ketibaan ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelasnya pesawat terbabit berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi pada 12.50 tengah hari, manakala juruterbang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali hanya merasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan dan dihantar ke Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, masih belum ada laporan secara rasmi dibuat kepada pihak polis. - BERNAMA