Pesawat terhad sekat pertumbuhan jumlah tempat duduk penerbangan domestik - MIDF Research
herman
21/05/2024 - 10:22
KUALA LUMPUR 21 Mei - MIDF Research berhati-hati dengan pemulihan jumlah penumpang bagi sektor domestik kerana berterusan kekal berada dalam julat 80% hingga 85% dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini dengan purata 83% bagi April 2024.
Menurut firma penyelidikan itu, sedangkan sektor antarabangsa sejak enam bulan lalu telah secara konsisten melebihi penumpang penerbangan domestik terutama destinasi dalam ASEAN dengan mencatatkan kadar pemulihan sebanyak 91%.
Katanya, penerbangan bukan ASEAN pula berada pada kadar sedikit lebih rendah iaitu pada 85%.
"Purata penumbang laluan domestik yang lebih rendah berbanding antarabangsa berkemungkinan berkaitan dengan ketersediaan pesawat yang terhad, yang seterusnya menyekat pertumbuhan kapasiti tempat duduk," katanya dalam nota penyelidikan hari ini
Trafik penumpang di lapangan terbang Malaysia mencapai 7.6 juta penumpang pada April 2024 yang mencerminkan pemulihan sebanyak 86% (domestik: 85%, antarabangsa: 88%).
Sementara itu, kata MIDF Research, sebanyak lima lagi syarikat penerbangan telah memulakan penerbangan ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada suku pertama 2024 (1Q2024).
Katanya, ia sebahagian daripada 14 buah syarikat penerbangan yang merancang memulakan laluan ke KLIA dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Ini bakal mendorong pemulihan trafik antarabangsa terutamanya dengan syarikat penerbangan seperti British Airways, Qantas, Air India, Lufthansa, Iberia, dan Finnair dalam suku-suku yang akan datang.
"Kemasukan syarikat-syarikat penerbangan ini dijangka merangsang lebih lanjut perjalanan bukan ASEAN," jelasnya.
Dalam pada itu, MIDF Research mengekalkan unjuran trafik udara dengan pertumbuhan +2.0% berbanding tahap 2019, yang sejajar dengan ramalan julat yang lebih tinggi MAVCOM.
"Walau bagaimanapun, wujud risiko yang ketara termasuk kelewatan AirAsia dalam mengaktifkan semula pesawat penuh dan gangguan dalam penghantaran pesawat Boeing kepada syarikat penerbangan tempatan," ujarnya.
MIDF Research mengekalkan saranan terima tawaran saham MAHB pada harga RM11 sesaham dan kekal Neutral ke atas Capital A dengan harga sasaran 74 sen sesaham.- DagangNews.com


