
Pesawat Terhempas Dalam Sungai Bawa 64 Orang
Sebuah pesawat penumpang American Airlines 5342 dilapor bertembung dengan sebuah helikopter Black Hawk, lalu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Ronald Reagan Washington DC pada Khamis.
Menurut portal CNN, pesawat penumpang itu dilaporkan membawa 60 orang penumpang dan empat orang kru penerbangan.
Difahamkan, pesawat berkenaan berlepas dari Wichita, Kansas dan menghampiri lapangan terbang tersebut untuk mendarat sebelum tragedi itu berlaku.
Manakala helikopter milik Angkatan Tentera Amerika Syarikat itu pula dinaiki oleh tiga orang kru.
Difahamkan, helikopter milik Kompeni B, Batalion Udara Ke-12 dari Fort Belvoir, Virgina dan digunakan untuk latihan penerbangan.
Jabatan Bomba Washington memaklumkan beberapa bot bomba sedang berada di tempat kejadian ketika operasi menyelamat sedang dijalankan.
Sementara itu, operasi pesawat dilapangan terbang tersebut turut dihentikan buat sementara waktu bagi membolehkan petugas kecemasan memberi respon terhadap insiden terbabit.
Menurut CNN, pihak berkuasa mengesahkan berlaku kemalangan jiwa dalam tragedi tersebut dan belum ada mangsa yang dibawa keluar selamat setakat ini.
Bagaimanapun buat masa ini, tiada maklumat terperinci berhubung bilangan mangsa yang terkorban didedahkan.
Terdahulu, beberapa rakaman yang menunjukkan detik-detik pesawat berkenaan bertembung dengan helikopter ketika berada di udara turut menjadi tular di media sosial.
https://x.com/RT_com/status/1884826712275386675
The post Pesawat Terhempas Dalam Sungai Bawa 64 Orang appeared first on Siakap Keli.


