
JAKARTA – Satu rakaman yang tular di media sosial memaparkan suasana kecoh apabila beberapa peserta dilihat berebut untuk naik ke pentas selepas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, meminta 10 wakil Program Makan Bergizi Gratis (MBG) tampil ke hadapan.
Kejadian itu berlaku ketika Rapat Konsolidasi Nasional Program Makan Bergizi Gratis (MBG) yang berlangsung di Sentul International Convention Center (SICC), Bogor, Jawa Barat pada Rabu, 3 Jun 2026.
Menurut laporan KompasTV, dalam acara tersebut Prabowo membawa contoh potongan ayam ke atas pentas bagi menunjukkan standard saiz hidangan yang sesuai untuk diberikan kepada pelajar di bawah program berkenaan.
Beliau kemudian meminta 10 wakil daripada rakan pelaksana MBG untuk naik ke pentas bagi melihat sendiri contoh potongan ayam yang ditunjukkan.
Namun, suasana bertukar sedikit kecoh apabila peserta yang hadir kelihatan begitu teruja sehingga lebih ramai daripada jumlah yang diminta cuba menghampiri pentas.
Teruja Ingin Bertemu Presiden
Rakaman yang dikongsikan KompasTV turut menunjukkan beberapa peserta, termasuk golongan wanita, berusaha mendekati Presiden untuk bersalaman dan bergambar.
Walaupun keadaan menjadi sesak seketika, petugas keselamatan berjaya mengawal keadaan dan program diteruskan seperti biasa.
Video berkenaan menarik perhatian warga maya dengan ramai yang terhibur melihat reaksi spontan peserta yang tidak melepaskan peluang untuk berada lebih dekat dengan Presiden Indonesia itu.
Menurut laporan media Indonesia Detik News, Prabowo sebelum ini turut menegaskan kepentingan memastikan hidangan yang disediakan menerusi Program Makan Bergizi Gratis memenuhi standard pemakanan yang ditetapkan, termasuk saiz hidangan yang sesuai untuk penerima manfaat.
Untuk rekod, Program Makan Bergizi Gratis merupakan antara agenda utama pentadbiran Prabowo yang bertujuan menyediakan makanan berkhasiat kepada pelajar dan golongan yang memerlukan di seluruh Indonesia. – The Malaysian Update
The post Peserta Berebut Naik Pentas Selepas Prabowo Minta 10 Wakil Tampil Tunjuk Contoh Potongan Ayam appeared first on The Malaysian Update.

