
KUALA LUMPUR – Kira-kira 200 orang berhimpun di pekarangan sebuah kompleks beli-belah di sini, bagi menunjukkan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang didakwa terbabit salah urus projek kapal tempur pesisir (LCS) dalam satu perhimpunan jalanan di Kuala Lumpur hari ini.
Perhimpunan #ManaKapalLCS berlangsung satu setengah jam itu diadakan secara aman tanpa sebaran insiden tidak diingini yang menyaksikan peserta melaungkan ketidakpuasan hati sambil memegang sepanduk tertera beberapa slogan.
Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Luqman Long berkata, projek LCS yang menyaksikan kos RM6 bilion hasil wang pembayar cukai yang dibelanjakan, kini ‘hilang di laut’, meskipun ia boleh disalurkan untuk kegunaan penting lain.

Jelasnya, sejumlah besar wang diperuntukkan untuk membeli hampir semua peralatan diperlukan bagi membina kapal itu, tidak membuahkan hasil setakat ini.
“RM6 bilion ini boleh digunakan untuk membina 243 sekolah, 108,000 rumah dan sarapan percuma kepada 200,000 pelajar selama 64 tahun.
“Beritahu ini kepada ibu bapa, kawan-kawan, saudara-mara dan jiran-jiran,” katanya pada himpunan itu.
Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa perbelanjaan untuk projek pertahanan adalah penting.
“Saya tidak mahu wang itu digunakan bagi pendidikan atau perumahan kerana dana itu bertujuan untuk tentera kita.
“Dana itu adalah untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Sudah lebih 12 tahun (sejak kontrak itu dipersetujui dan ditandatangani), namun tiada satu kapal pun dilihat,” – The Vibes, 14 Ogos 2022
BERITA LANJUT MENYUSUL


