SABAK BERNAM - Peserta Projek Melon Selangor (MeloSel) di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPR-INTAN) merekodkan pendapatan bersih purata RM4,583 seorang pada pusingan pertama pengeluaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, program yang dilaksanakan di Parit Baru dan Kampung Tebuk Berihun itu bukan sahaja meningkatkan pengeluaran hasil pertanian bernilai tinggi, malah membuka peluang ekonomi kepada golongan belia, B40, asnaf dan miskin tegar.
Menurutnya, program itu menggunakan teknologi fertigasi moden menerusi 15 unit Rumah Pelindung Hujan (RPH) bagi menghasilkan MeloSel berkualiti premium.
"Seramai 15 peserta terlibat dengan setiap peserta mengusahakan satu unit RPH yang mempunyai kapasiti 2,000 pokok melon.
"Secara keseluruhan, projek ini melibatkan 30,000 pokok melon dan berjaya mencatatkan harga ladang RM8 sekilogram bagi melon gred A, melepasi sasaran awal yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian sempena keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ke Projek Melon PKPS di Selangor Smart Agro Park (SSAP) Sungai Air Tawar di sini pada Khamis.
Turut berangkat isteri baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Baginda dan pasangannya tiba kira-kira jam 9.50 pagi sebelum berkenan menandatangani plak perasmian projek itu sempena Program Gugusan Rumpun Selangor bagi daerah Sabak Bernam.
Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, SSAP merupakan inisiatif pertanian moden dan pintar yang dibangunkan PKPS bagi memperkukuhkan agenda jaminan bekalan makanan negeri.
Katanya, daripada keseluruhan keluasan 48 hektar, sebanyak 42.2 hektar atau 88 peratus kawasan telah dibangunkan dan ditanam dengan pelbagai komoditi pertanian.
"Sehingga kini, SSAP merekodkan jumlah jualan sebanyak RM483,082 dengan hasil tuaian berjumlah 154.90 tan metrik.
"Bernam Smart Agro menjadi penyumbang utama dengan nilai jualan terkumpul RM392,482 menerusi pengeluaran nanas MD2 serta tanaman kontan dan bahan tanaman berkaitan," ujar beliau.
Menurut beliau, selain nanas MD2, antara komoditi utama yang diusahakan secara komersial ialah nanas Yankee, betik B9 dan kelapa hibrid.
Katanya, tanaman kontan seperti labu, bendi, terung dan pisang turut diusahakan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah serta menjana pendapatan jangka pendek sementara menunggu tanaman utama matang.
Beliau memberitahu, SSAP merancang beberapa inisiatif strategik bagi memastikan kelestarian projek serta memperkukuh rantaian bekalan agromakanan negara.
"Antaranya termasuk pembangunan Hab Benih Betik Selangor menerusi kerjasama dengan Green World Genetics Sdn Bhd bagi tempoh tahun ini hingga tahun depan, selain pembangunan Hab Benih Kelapa Hibrid di kawasan baharu seluas 50 ekar antara 2029 hingga 2031.
"Selain itu, menerusi anak syarikat Kohijrah, SSAP turut merancang pembangunan Hab Sulur Nanas bagi pengeluaran sulur varieti MD2 dan SG1 untuk memenuhi keperluan industri," jelas beliau.
Mohamad Khairil menjelaskan, SSAP akan terus berperanan sebagai model pembangunan pertanian moden yang menggabungkan pengeluaran makanan, pembangunan agropreneur dan teknologi pintar dalam ekosistem mampan.
"Melalui pembangunan berfasa dan penggunaan tanah yang optimum, projek ini mampu menyumbang kepada pengukuhan sekuriti makanan serta pembangunan ekonomi luar bandar di Selangor," tambah beliau.






