Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 hidupkan semula seni warisan Melayu, pupuk jati diri

Local
10 May 2026 • 9:37 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 hidupkan semula seni warisan Melayu, pupuk jati diri

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Keindahan seni pantun Melayu kembali diangkat menerusi Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 yang menghimpunkan lapan agensi media di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, semalam.

Program itu menjadi pentas buat pengamal media mengasah kreativiti dan memperkukuh penguasaan bahasa Melayu klasik, selain menghidupkan semula seni pantun yang semakin jarang dipertuturkan.

Wakil Media Selangor Muhammad Asri Sapfie berkata penyertaan dalam pertandingan itu memberi pengalaman baharu untuk memahami keindahan bahasa warisan.

“Di luar sana jarang sekali pantun dideklamasikan atau dijadikan pertandingan. Jadi menerusi HAWANA ini, kami banyak belajar dan lebih memahami selok-belok bahasa Melayu klasik.

Image from: Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 hidupkan semula seni warisan Melayu, pupuk jati diri
Aksi peserta berpantun ketika Pesta Pantun Hawana-DBP anjuran Kementerian Komunikasi dan Bernama di Panggung Sari, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada 9 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Dalam masa sama, kami juga dapat memupuk jati diri apabila cuba menyelami budaya bahasa kita dengan lebih mendalam. Acara ini mengajar kami supaya lebih menghargai budaya dan warisan bahasa,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata penyertaan sulung Media Selangor turut menguji keyakinan peserta untuk tampil berentap di hadapan khalayak.

“Peserta bukan sahaja perlu bijak menyusun kata, malah perlu menampilkan kemampuan terbaik untuk bersaing dengan peserta lain yang lebih berpengalaman dalam dunia pantun,” katanya.

Bertemakan Kewartawanan dan Teknologi, pertandingan anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menyaksikan penyertaan lapan pasukan terdiri daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV3, Astro Audio News, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan Bernama.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 antara pengisian awal menuju kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.

Image from: Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 hidupkan semula seni warisan Melayu, pupuk jati diri
Aksi peserta berpantun ketika Pesta Pantun Hawana-DBP anjuran Kementerian Komunikasi dan Bernama di Panggung Sari, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada 9 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Wakil TV3, Affiq Norshamsudin berkata pertandingan itu wajar dianjurkan secara kerap bukan sahaja untuk pengamal media, tetapi di semua peringkat.

Menurutnya, perkembangan teknologi menyebabkan masyarakat semakin kurang mendekati seni bahasa tradisional seperti pantun.

“Kalau tiada pertandingan seperti ini, mungkin ramai tidak mengambil peluang untuk mendalami bahasa sendiri. Pertandingan ini mampu menyemarakkan semangat masyarakat untuk terus mencintai bahasa ibunda.

“Kita jadi lebih bersemangat untuk memperkasakan dan menghargai bahasa sendiri apabila ada program seperti ini. Malah melalui pantun, nilai-nilai murni ditanamkan secara halus dan mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Sinar Harian, Nur Fa’izzah Mashor menyifatkan pesta berkenaan sebagai platform terbaik untuk mempelajari teknik berpantun dan penggunaan bahasa yang lebih baik.

"Pesta pantun ini bagus sebab kita boleh melatih diri dalam bahasa. Sebab pantun ni ada macam-macam pantun… zaman saya sekolah dulu cara berpantunnya lain, bila dah peringkat macam ini lain pula...jadi kita boleh belajar benda yang baharu," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Zulaiha Hamid berharap program seumpama itu diteruskan kerana mampu mendidik anak-anak mengenali seni warisan Melayu sejak kecil.

Anaknya, Tuah Dzulkarnain, 6, turut mencuri perhatian apabila memenangi Anugerah Busana serta membawa pulang sagu hati RM500.

Image from: Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 hidupkan semula seni warisan Melayu, pupuk jati diri
Antara pengunjung cilik yang hadir ke Pesta Pantun Hawana-DBP anjuran Kementerian Komunikasi dan Bernama di Panggung Sari, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada 9 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

View Original Article