Petaling Perdana juara Debat Darul Ehsan 2026 Piala Speaker DNS

26 Jun 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Petaling Perdana juara Debat Darul Ehsan 2026 Piala Speaker DNS

SHAH ALAM, 26 JUN: Kumpulan Petaling Perdana (B) menjuarai Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) 2026 (Debat Darul Ehsan) yang diadakan di Wisma DNS di sini, semalam.

Kumpulan Petaling Perdana (B) yang bertindak sebagai kerajaan dianggotai pendebat dari Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Jemaah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Perdana dan SMK Taman Sri Muda.

Kumpulan berkenaan menewaskan kumpulan Hulu Langat (B) dalam pertandingan akhir yang membawa usul 'Dewan Ini Percaya Balik Kampung Destinasi Terbaik Cuti-Cuti Malaysia'.

Image from: Petaling Perdana juara Debat Darul Ehsan 2026 Piala Speaker DNS
Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San bersama Naib johan Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Peringkat Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 25 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Speaker Lau Weng San memuji semangat dan kebijaksanaan semua pendebat yang dilihat tampil membahaskan usul dengan berhujah menggunakan fakta serta analisis bernas.

“Pendebat remaja ini sangat bertenaga dan mereka juga mempunyai pemikiran yang bijak. Walaupun mereka sepasukan dan berbeza sekolah, tetapi kita cuba beri cabaran dan mereka dapat atasi perkara itu.

“Ini juga merupakan kali pertama kita adakan pertandingan ini di Wisma DNS. Kita mahu mereka merasakan semangat dan pengalaman sebenar sebagai wakil rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis berkenaan, semalam.

Debat Darul Ehsan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, julung kali diadakan di Wisma DNS bagi memberi pendedahan awal mengenai fungsi institusi DUN sekali gus memupuk semangat kepimpinan pelajar.

Peserta turut dibawa melawat ke kamar DNS serta mendengar sesi perkongsian bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan ADN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.

Image from: Petaling Perdana juara Debat Darul Ehsan 2026 Piala Speaker DNS
Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San bersama kesemua peserta Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Peringkat Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 25 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved