
Kota Kinabalu: Seorang petani berumur 52 tahun dijatuhi hukuman penjara 33 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh isterinya di Sook tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman terhadap Patersius Juliteh @ Julit (gambar) pada Selasa selepas membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan.
Patersius disabitkan kesalahan membunuh Sansiah Tinggian, 41, pada 2 Februari 2024, jam 11 malam, di sebuah rumah di Kg Tingalan.
Dr Lim memutuskan bahawa mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap Patersius sebagaimana pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
“Secara khusus, terbukti bahawa si mati ialah Sansiah Tinggian dan dia meninggal dunia akibat kecederaan serta komplikasi daripada luka terbakar yang teruk, setelah disimbah petrol dan dibakar oleh tertuduh dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu amat berbahaya sehingga besar kemungkinan menyebabkan kematian atau kecederaan serius yang boleh membawa maut,” katanya.
Dr Lim berkata pembelaan utama Patersius ialah dia menafikan menyimbah petrol ke atas si mati dan membakarnya sebaliknya mendakwa kebakaran berpunca daripada pelita minyak.
“Selepas menilai keseluruhan keterangan termasuk keterangan tertuduh dari kandang saksi serta keterangan Dr Mohd Amirul Husni Jakaria, saksi pakar dari Hospital Keningau, saya mendapati naratif pembelaan tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Saya juga tidak mendapati sebarang keraguan munasabah terhadap keterangan langsung saksi pendakwaan pertama iaitu anak perempuan tertuduh dan si mati, serta akuan nazak si mati.
Seorang lagi anak perempuan yang berada di tempat kejadian turut cuba membantu ibunya yang terbakar dan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kedua.
“Unsur-unsur utama bagi kesalahan membunuh telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah maka tertuduh dengan ini disabitkan atas kesalahan membunuh Sansiah,” kata Dr Lim.
Peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah, yang mewakili Patersius, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan bukannya hukuman mati.
Fikry berhujah, antaranya, tiada bukti menunjukkan Patersius berniat untuk membunuh apatah lagi merancang perbuatan kejam itu.
Katanya, selepas kejadian Patersius membawa Sansiah ke klinik untuk rawatan dan tindakan itu jelas menunjukkan penyesalan, rasa belas kasihan serta bahawa Patersisu tidak bertindak dengan niat penjenayah tegar.
Fikry turut berhujah bahawa pembunuhan itu bukan dilakukan secara terancang atau kejam. Tambahnya lagi, Patersius menunjukkan penyesalan, telah bertaubat atas apa yang berlaku dan dia juga merupakan pesalah kali pertama, tanpa sebarang rekod jenayah atau sejarah keganasan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dacia Jane Romanus memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas Patersius atas beberapa alasan, antaranya cara Sansiah dibunuh membuktikan kekejaman dan niat jahatnya.
“Penggunaan petrol untuk membakar manusia lain merupakan satu perbuatan keganasan luar biasa. Ia adalah kematian yang perlahan, menyeksakan dan penuh derita. Seperti yang disaksikan oleh saksi pendakwaan pertama dan kedua, si mati dalam keadaan sedar ketika api marak membakar tubuhnya,” katanya.
DPP Dacia juga mengemukakan bahawa Patersius adalah suami kepada si mati.
“Dia bukan orang asing sebaliknya individu yang sepatutnya membina kepercayaan, keintiman dan kebergantungan dengan si mati. Suasana rumah tangga sepatutnya menjadi tempat yang selamat namun dalam kes kita ini yang paling mengganggu ialah hakikat perbuatan kejam tertuduh dilakukan di hadapan anak-anak mereka.
Anak-anak ini bukan sahaja kehilangan ibu mereka malah menyaksikan sendiri bagaimana dia dibunuh dengan kejam,” kata DPP Dacia.
“Demi kepentingan awam dan keperluan pencegahan kami kemukakan bahawa mahkamah perlu menghantar mesej tegas sebarang keganasan dalam keluarga akan menerima akibat paling berat. Tiada siapa seharusnya berasa tidak selamat di rumah sendiri,” tambahnya.
Pihak pendakwaan kemudian berkata jika mahkamah memilih hukuman penjara dan bukan hukuman mati lazimnya hukuman bagi kes kematian berkaitan pembakaran ialah 35 hingga 36 tahun penjara bersama 12 kali sebatan rotan.
Ketika menjatuhkan hukuman Dr Lim berkata mahkamah tidak akan menjatuhkan hukuman mati kerana Patersius adalah pesalah kali pertama, pembunuhan berlaku dalam suasana keluarga selepas minum arak serta tidak dirancang dengan persediaan awal atau menggunakan senjata.
Mahkamah juga mengambil kira penyesalan Patersius dan usianya yang sudah 52 tahun yang memberi peluang kepadanya untuk bermuhasabah dan menjalani pemulihan.
Mahkamah berkata ia tidak akan menjatuhkan hukuman penjara yang terlalu lama sehingga menyebabkan dia meninggal dunia dalam penjara. Bagaimanapun ia menegaskan bahawa cara pembunuhan itu dan penderitaan yang dialami mangsa perlu diambil kira. Demi kepentingan awam hukuman perlu melebihi minimum 30 tahun.
Dr Lim menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun terhadap Patersius bermula dari tarikh tangkapannya pada 3 Februari 2024.
Bagaimanapun Patersius terlepas daripada hukuman sebatan kerana usianya melebihi 50 tahun.
Pada 13 Mac Patersius diperintahkan membela diri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman sama ada mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali bagi banduan lelaki berusia bawah 50 tahun apabila disabitkan kesalahan.
Patersius yang memberi keterangan bersumpah memanggil dua saksi termasuk dirinya sendiri.

