Petani muda syukur terima bantuan negeri, suntik semangat untuk berjaya

5 Mar 2023 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LANGAT, 5 MAC: Bantuan pertanian oleh Kerajaan Negeri menyuntik semangat petani muda untuk meneroka bidang itu sekali gus menjadi sumber utama pendapatan mereka.

Muhamad Saufi Rosali, 25, berkata peruntukan diterima sebanyak RM140,000 untuk baja dan peralatan membolehkan beliau menjayakan projek tanaman makanan ternakan berasaskan jagung bijian yang bermula bulan depan.

image is not available
Muhamad Saufi Rosali. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Saya memang berminat dengan bidang pertanian. Sejak habis sekolah saya memang tolong ibu ayah mengusahakan tanaman ubi kayu dan pisang, jadi ilmu pertanian memang sudah ada dan sebati dalam diri.

“Jadi dengan bantuan ini ia terus memangkin semangat saya untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian di usia muda ini,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan kerepek secara kecil-kecilan.

Muhamad Saufi antara 10 penerima insentif projek pembangunan berkaitan pertanian yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Kuala Langat di Banting Waterfront, hari ini.

image is not available
S Mahalaxmee. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Bagi S Mahalaxmee, 26, yang mengusahakan tanaman sirih, beliau tidak menyangka bantuan diluluskan kerana usianya sebagai pemohon yang masih muda.

“Saya tidak yakin sangat permohonan diluluskan kerana usia muda, namun saya dapat berita baik. Sudah pasti saya gembira kerana, saya memang minat tanam sirih sejak kecil lagi kerana bapa mengusahakan tanaman ini sejak dulu.

“Diharap bantuan peralatan ini akan meningkatkan hasil tanaman yang sudah tentu akan meningkatkan juga hasil pendapatan kami sekeluarga,” katanya yang menerima bantuan baja dan peralatan bernilai RM20,000.

Insentif projek pembangunan itu yang menjadi salah satu peruntukan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian memanfaatkan petani dan usahawan industri asas tani bagi meningkatkan pengeluaran hasil tanaman dan produk asas tani.