Peter Anthony bebas dari penjara secara parol?

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 4:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peter Anthony

KOTA KINABALU - Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony dilaporkan dibebaskan secara parol dari Penjara Kajang dan dibenarkan pulang ke Sabah.

Bagaimanapun setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak untuk mengesahkan pembebasan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.

Menurut sumber, Peter kini berada di rumahnya di daerah pedalaman untuk menjalani baki hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan sebelum ini.

Difahamkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu telah mencapai tempoh matang untuk melayakkannya memohon tahanan secara parol.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan bahawa pihaknya juga belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak mengenai perkara itu.

"Setakat ini kita belum terima apa-apa laporan. 'No komen', sebab tiada notis rasmi kita terima.

"Parol adalah di bawah Jabatan Penjara dan ia bukan di bawah bidang kuasa polis," jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Peter dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas disabitkan kesalahan memalsukan dokumen sokongan untuk kontrak di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Beliau mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu, namun Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan berkenaan termasuk denda RM50,000.

Sementara itu, bercakap mengenai program yang dihadiri, Jauteh berkata, galeri itu sudah lama diusahakan oleh Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

"Jadi kita berharap pihak Bukit Aman dapat memberikan panduan dan nasihat untuk penambahbaikan sebelum galeri ini dibuka kepada orang awam," katanya.