Mijia, jenama perkakasan elektrik dari syarikat produk elektronik terkemuka Xiaomi sudahpun ada di pasaran tempatan untuk beberapa tahun. Terkini, jenama tersebut telah memperkenalkan produk terbaru mereka, iaitu sebuah peti sejuk yang hadir dengan kawalan melalui aplikasi, iaitu Mijia Refrigerator Cross Door 510L.

Dari segi saiz dan rekaan, peti sejuk Mijia Cross Door ini hadir dengan rekaan empat pintu yang boleh dibuka dari tengah, dan hadir dengan saiz penyimpanan sebesar 510 liter. Rangka luaran peti sejuk ini hadir dengan rekaan berwarna hitam dengan permukaan kusam yang mengurangkan kesan cap jari pada permukaan peti sejuk ini.

Saiz penyimpanan besar didalam peti sejuk ini hadir dengan rak penyimpanan yang cukup lebar dan dalam di bahagian tengah, manakala terdapat tiga rak di bahagian pintu yang boleh digunakan untuk menyimpan botol air, sos dan juga telur mentah jika dimahui.

Pengguna boleh menggunakan aplikasi Mijia untuk mengawal suhu peti sejuk ini, dari bahagian peti sejuk, bahagian pembeku dan juga satu laci istimewa yang dinamakan i-Fresh. Dengan laci i-Fresh ini, pengguna boleh mengubahsuai tetapan suhu laci tersebut dari -1 darjah Celcius ke 5 darjah Celcius, sesuai untuk anda yang mahu menyimpan bahan makanan untuk dimasak kemudian, tetapi masih mahu mengekalkan kesegarannya.

Dalam pada itu, suhu bahagian peti sejuk dan pembeku peti sejuk Mijia Refrigerator Cross Door 510 ini juga boleh diubahsuai melalui aplikasi Mijia dan juga pada panel skrin pada pintu peti sejuk ini. Bahagian peti sejuk hadir dengan julat suhu 2 darjah Celcius ke 8 darjah Celcius, manakala bahagian pembeku pula boleh diubahsuai dari -24 darjah Celcius ke -16 darjah Celcius.

Xiaomi mengatakan bahawa peti sejuk Mijia Refrigerator Cross Door 510L ini hadir dengan harga RM2899 melalui kedai atas talian Mi.com ataupun di Shopee dan Lazada bermula hari ini, 5 Jun 2025 pada jam 8 malam. Sebagai promosi jualan awal, peti sejuk ini hadir dengan diskaun RM500, dan akan dijual untuk RM2399.


