Petisyen Berkaitan Isu Rohingya Cecah Ratusan Ribu Sokongan

LocalPolitics
4 Jun 2026 • 7:47 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Petisyen yang menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula ke negara ketiga telah meraih lebih 200,000 tandatangan setakat Khamis, dengan sasaran untuk mencapai sejuta sokongan.

Petisyen yang dilancarkan oleh akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu turut menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian alternatif bagi menangani isu kebanjiran pelarian tersebut.

Kemasukan lebih ramai boleh timbulkan ketegangan

Menurut penganjur, peningkatan jumlah etnik berkenaan didakwa memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara.

“Kemasukan ini telah menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat tempatan apabila sumber yang sedia terhad menjadi semakin terbatas.
“Kesan terhadap ekonomi juga tidak boleh dipandang ringan. Ketika Malaysia berusaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, kehadiran populasi pelarian yang besar memerlukan pengurusan yang teliti serta peruntukan sumber yang signifikan.
“Selain itu, keadaan menjadi lebih mencabar susulan pandemik global yang telah memberikan tekanan luar biasa terhadap sistem kesihatan dan ekonomi negara,” katanya.

Image from: Petisyen Berkaitan Isu Rohingya Cecah Ratusan Ribu Sokongan

Harap ada pelan tangani isu ini

Pada masa sama, penganjur turut menggesa kerajaan merangka pelan menyeluruh bagi menangani isu tersebut dengan mengambil kira kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

“Kami memahami aspek kemanusiaan yang berkaitan dengan situasi ini. Namun, kami berpendapat bahawa pendekatan semasa tidak lagi mampan dalam jangka panjang.
“Adalah penting bagi Malaysia untuk mengutamakan kebajikan dan kestabilan rakyatnya sendiri, sambil berusaha mencari penyelesaian yang berperikemanusiaan bagi golongan pelarian,” katanya lagi.

Image from: Petisyen Berkaitan Isu Rohingya Cecah Ratusan Ribu Sokongan

Kontroversi berhubung komuniti Rohingya sebelum ini turut tercetus susulan aduan penduduk mengenai isu kebersihan selepas penyembelihan korban, yang kemudian mencetuskan perbincangan lebih luas di media sosial.

Isu tersebut turut mengundang reaksi beberapa pihak termasuk kenyataan bahawa sebarang tuntutan penempatan pelarian perlu dilihat dari sudut kedaulatan negara.

Sumber: Change.0rg

The post Petisyen Berkaitan Isu Rohingya Cecah Ratusan Ribu Sokongan appeared first on Borak Daily.