
KOTA MARUDU: Seramai 120 pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 dari tujuh sekolah di daerah ini menyertai program Memperkasakan Ilmu: Discover Petronas @ Schools (DPS) di Dewan Komuniti Kota Marudu pada 22 Januari lalu.
Sekolah peserta ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 1, SMK Kota Marudu 2, SMK Bandau, SMK Bekongan, SMK Langkon, SMK Tandek, dan SMK Tandek 2.
Program tersebut turut menampilkan bakat muda Petronas dari Sabah yang menyampaikan perkongsian mengenai subjek sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), dan kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ia bertujuan membantu pelajar untuk lebih memahami peluang kerjaya dalam bidang berkenaan, khususnya sektor minyak dan gas.
SPONSORED CONTENT Mengalum for world’s first net zero carbon island resort Taiwan’s Sinyi Group is on track to unveil the world’s first unique net zero carbon island resort on Mengalum Island. . Read more Yong Siew Fook, 16, dari SMK Bandau, berkata program tersebut telah membuka matanya tentang peluang penajaan dan kerjaya di Petronas.
“Program ini telah memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk suatu hari menjadi sebahagian daripada Petronas. Saya juga telah berpeluang untuk mengenali kepelbagaian bidang di Petronas.”
Ally Marrycilla Jules, 16, dari SMK Kota Marudu, berkata program tersebut telah memperluaskan pengetahuan merentasi skop kurikulum di sekolah.
“Melalui DPS, saya telah mempelajari banyak perkara. Pendekatan praktikal menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menarik.”
Anira Nur Izzaty Ebin Abdullah, guru dari SMK Langkon, menekankan keberkesanan program itu dalam mempamerkan pelbagai peluang kerjaya dalam industri.
“DPS telah memperkenalkan pelbagai bidang pekerjaan di Petronas, sekali gus menangkis anggapan bahawa peluang pekerjaan di syarikat tersebut hanya terhad kepada sektor minyak dan gas.
“Segmen Petrosains juga telah mengetengahkan pelbagai aspek sains dan teknologi syarikat itu.”
Ini merupakan program DPS pertama di Sabah bagi tahun 2024, yang merupakan kesinambungan program yang diadakan di Pitas pada Disember lalu.
Setakat ini, DPS telah berjaya memberi impak kepada 26,000 pelajar dan guru di seluruh negara, sekali gus menegaskan komitmen Petronas dalam menyemai bakat masa depan dalam sektor tenaga.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

