Petronas Chemicals bakal bina kilang kitar semula kimia terbesar Asia di Pengerang
diyana
09/10/2023 - 15:10
KUALA LUMPUR 9 Okt - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membina kilang kitar semula kimia termaju yang terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilo-tan setahun (ktpa) di Pengerang, Johor.
Pengumuman FID tersebut juga diikuti dengan pemeteraian perjanjian lesen teknologi (TLA) antara anak syarikat PCG dan Plastic Energy Limited (Plastic Energy), serta penganugerahan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan (EPC) kepada Mutiara Etnik Sdn Bhd.
Sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi pusingan dan menyumbang kepada ekosistem plastik lestari, kilang yang dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026 itu dapat meneroka keupayaan kitar semula kimia sisa plastik di Malaysia.
Ini dijalankan menerusi penukaran plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis atau TACOIL, yang boleh digunakan sebagai bahan mentah kimia untuk penghasilan plastik mesra alam.

Melalui kilang kitar semula kimia termaju ini, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PC, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata kumpulan itu mempunyai visi bagi memacu inovasi merentasi rantaian nilai plastik, serta mewujudkan peluang merangkumi semua pihak, daripada pengumpul sisa kepada pengilang, untuk bersama-sama menyumbang kepada ekonomi plastik kitar semula.
“Ini membolehkan kami memarakan aspirasi negara dalam menyingkirkan plastik sekali guna secara berperingkat, selaras dengan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jenama-jenama besar untuk pembungkusan lestari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Plastic Energy akan menyediakan teknologi kitar semula kimia untuk kilang terbabit melalui proses berpaten TAC, yang memanaskan campuran sisa plastik sudah diguna tanpa penggunaan oksigen.
Proses ini seterusnya menghasilkan wap hidrokarbon, yang melalui proses pemeluwapan menjadi minyak pirolisis atau TACOIL yang boleh digunakan sebagai pengganti stok suapan hidrokarbon dalam penghasilan plastik kitar semula gred makanan.
Kilang kitar semula kimia termaju tersebut akan memanfaatkan rantaian nilai plastik Malaysia dengan mewujudkan ekosistem yang menggalakkan peralihan kepada ekonomi pusingan. - DagangNews.com

