Petronas Dagangan catat jualan tertinggi, raih hasil RM37.95 bilion pada FY24

LocalBusiness & Finance
24 Apr 2025 • 4:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Petronas Dagangan catat jualan tertinggi, raih hasil RM37.95 bilion pada FY24

image is not available

24/04/2025 - 16:48

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 April — Petronas Dagangan Berhad merekodkan keputusan kewangan kukuh untuk tahun kewangan 2024 (FY24) yang turut melepasi jangkaan serta mencatatkan pencapaian baharu dalam segmen runcit dan komersial.


Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 syarikat itu yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Anuar Ahmad di sini hari ini diberitahu, jumlah jualan merekodkan 16.8 bilion liter minyak, iaitu tertinggi dalam sejarah.


Keadaan itu mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dengan hasil RM37.95 bilion dipacu volum jualan terutama daripada gasolin motor (Mogas) dan Jet A-1 yang lebih tinggi walaupun harga jualan purata lebih rendah.


"Keuntungan operasi Petronas Dagangan bagi tempoh itu juga menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 15 peratus kepada RM1.55 bilion, disumbangkan pertambahan keuntungan kasar daripada semua segmen," katanya.


Kesannya telah dikurangkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi selaras dengan pertumbuhan dalam aktiviti perniagaan namun keuntungan kasar didapati meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM1.53 bilion.


Sementara itu, untung bersih pula melonjak kepada RM1.12 bilion, rekod tertinggi selepas pandemik Covid-19 selain melepasi paras RM1 bilion buat kali pertama sejak wabak berkenaan tamat.


Hasil daripada keuntungan yang lebih tinggi, perolehan setiap saham (EPS) turut meningkat sebanyak 15 peratus kepada 109.4 sen dengan dividen setahun penuh sesaham adalah 107 sen, termasuk dividen khas 20 sen.


"Ia diterjemahkan kepada pembayaran dividen sebanyak 100 peratus yang jauh melebihi kadar dasar dividen sebanyak 50 peratus daripada untung bersih kami kepada pemegang saham dan mencerminkan prestasi cukup kukuh," katanya


Petronas Dagangan juga meraih pengiktirafan peringkat nasional untuk keselamatan stesen, dengan 25 anugerah Platinum dan 408 Emas daripada Majlis Kebangsaan untuk Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (NCOSH).


Selain itu katanya, perniagaan komersial turut tumbuh kukuh apabila memaksimumkan pulangan daripada segmen bernilai tinggi, dengan volum meningkat sembian peratus dalam penerbangan dan 19 peratus dalam diesel.


Pelancaran sistem SmartPay di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengekang masalah ketirisan juga memperkukuhkan lagi penawaran kepada pelanggan armada.


"Syarikat turut mengekalkan semula kedudukannya sebagai peruncit LPG terkemuka Malaysia, apabila mencapai volum tertinggi sejak 2016 dan mendapatkan lebih 50 pelanggan komersial baharu pada tahun tersebut," katanya.


Ia turut memperkukuhkan perniagaan pelincir melalui perkongsian kukuh dan mencatatkan pertumbuhan volum sembilan peratus, mengatasi penanda aras industri selain rangkaian AutoExpert Petronas berkembang ke 95 cawangan.


Berucap pada AGM itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, tahun lalu ini merupakan peringatan untuk syarikat kekal 'berpijak' dalam tujuan, pelanggan dan pelaksanaan akhir.


Kejayaan mencapai rekod jumlah jualan tertinggi katanya, turut meningkatkan pengalaman serta keselamatan para pelanggan di seluruh rangkaian dengan lebih baik selain mencipta suasana yang lebih sederhana.


"Inilah yang membawa kami ke hadapan kerana apabila keperluan berkembang serta landskap berubah, kami bergerak dengan fokus dan niat, sambil berpegang teguh kepada perkara yang menjadikan kami berbeza," katanya. - DagangNews.com

standard