Petronas Gas sahkan insiden saluran paip gas bocor di tapak ECRL Kerteh

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2025 • 10:25 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Petronas Gas Berhad (PGB) mengesahkan insiden kebocoran gas pada saluran paip miliknya berhampiran Kampung Chabang, Kerteh, pagi semalam.

PGB dalam satu kenyataan semalam berkata, sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan lokasi kejadian ditutup serta merta kepada orang ramai dan pekerja.

"Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.50 pagi dan berada dalam keadaan terkawal manakala lokasi kejadian itu jauh dari laluan serta penempatan penduduk.

"Pemantauan secara berterusan sedang dijalankan sementara saluran paip yang terlibat telah diasingkan," katanya lapor BH.

Katanya, kakitangan syarikat berkenaan juga sudah ditempatkan untuk memantau lokasi kejadian.

"Bagaimanapun kejadian itu juga tidak menjejaskan bekalan gas kepada pelanggan berikutan penghantaran diteruskan melalui saluran paip gantian dalam rangkaiannya," kata kenyataan itu lagi.

Semalam Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Razi Rosli berkata insiden itu berlaku di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, Kerteh.

Pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada kira-kira jam 9.53 pagi dan dilaporkan berlaku hampir dua kilometer dari laluan utama namun tidak membabitkan perkampungan atau kediaman penduduk.

Susulan itu, katanya, jalan Kerteh ke Kampung Ranggon ditutup sementara kepada pengguna jalan raya. - 21 September, 2025