PETRONAS, JOGMEC jalin kerjasama kembangkan rangka kerja dalam sektor LNG

23/06/2025 - 11:40
Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS LNG, Ezran Mahadzir; Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan LNG PETRONAS, Shamsairi Mohd Ibrahim bersama Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Tenaga JOGMEC, Hiroyuki Mori dan Ketua Pengarah, Pejabat Dasar Tenaga & Alam Sekitar, Agensi Sumber Asli & Tenaga (ANRE), Shinichi Kihara semasa majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) yang diadakan sempena Energy Asia 2025 di Kuala Lumpur. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 23 Jun - PETRONAS menerusi anak syarikatnya, Petronas LNG Sdn Bhd telah menandatangani memorandum kerjasama (MOC) dengan Japan Organisation for Metals and Energy Security (JOGMEC) bagi mengembangkan dan meneroka rangka kerja dalam sektor gas asli cecair (LNG).
Perjanjian itu dimeterai semasa persidangan Energy Asia 2025 di Kuala Lumpur dan bertujuan untuk meningkatkan kestabilan bekalan LNG ke Jepun serta meneroka langkah-langkah strategik bagi menangani sebarang potensi gangguan.
MOC tersebut ditandatangani oleh Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan LNG PETRONAS, Shamsairi Mohd Ibrahim dan Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Tenaga JOGMEC, Hiroyuki Mori.
“Kami berbangga menjadi rakan tenaga jangka panjang kepada Jepun, dan MoC ini merupakan bukti peranan kami sebagai pembekal LNG yang boleh dipercayai kepada Jepun sejak tahun 1983.
"Kerjasama ini amat bertepatan dengan masanya, selari dengan momentum Energy Asia, di mana kerjasama serantau dan pengukuhan keselamatan tenaga rantau ini menjadi fokus utama perbincangan,” kata Shamsairi dalam satu kenyataan, hari ini.- DagangNews.com
standard

