amree12/05/2026 - 12:30 (DARI kiri) Presiden/CEO Kumpulan MISC, Zahid Osman; Naib Presiden Aset dan Rumusan Gas MISC, Hazrin Hasan, Naib Presiden Eksekutif/CEO Perniagaan Maritim dan Gas PETRONAS, Adif Zulkifli; CEO PETRONAS LNG Ltd, Ezran Mahadzir, serta Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG PETRONAS, Shamsairi M Ibrahim. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei — PETRONAS memperkukuh kedudukan sebagai pembekal gas asli cecair (LNG) global apabila memeterai perjanjian pajakan kapal selama tempoh 20 tahun dengan MISC Berhad.
Menerusi kenyataan, kontrak PETRONAS LNG Ltd (PLL) itu melibatkan sebanyak lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu yang bernilai strategik untuk operasi penghantaran bekalan jangka panjang.
Tambahnya, perjanjian itu membabitkan kapal LNG berkapasiti 174,000 meter padu yang akan disiapkan oleh firma pembinaan perkapalan, Hudong-Zhonghua Shipbuilding Group Co Ltd di Shanghai, China.
"MISC akan mengendalikan pengurusan projek sepanjang fasa pembinaan sebelum mengambil alih operasi dan pengurusan kapal berkenaan sebaik penghantaran bermula pada 2029 hingga 2030," kata PETRONAS.
Majlis pemeteraian rasmi perjanjian tersebut disempurnakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS LNG Ltd, Ezran Mahadzir dan Naib Presiden Gas Asset and Solutions MISC, Hazrin Hasan.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, penambahan kapal menjadi langkah penting memperkukuh rantaian nilai LNG.

Langkah tersebut juga dijangka memperteguhkan keupayaan industri tenaga dan maritim Malaysia di peringkat antarabanghsa seiring peningkatan permintaan LNG dunia dalam tempoh jangka panjang.
“Dengan gabungan aspirasi pertumbuhan PETRONAS dan kepakaran maritim MISC, kami terus memperkasa keupayaan bersepadu bagi menyokong PETRONAS sebagai pembekal LNG global yang dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, menurut kenyataan PETRONAS, kapal-kapal LNG baharu berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai teknologi moden dan cekap tenaga termasuk sistem pendorongan XDF2.1 generasi terkini.
Tambahnya, ia merupakan penjana aci bagi meningkatkan kecekapan bahan api serta sistem loji tenaga dalaman bagi mengurus pelepasan gas secara lebih efektif sepanjang pelayaran jarak jauh kapal.
"Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan bagi memperkukuhkan daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan LNG selain menyokong agenda peralihan tenaga rendah karbon," katanya. - DagangNews.com




